Bersatu jangan bertanding di kubu kuat UMNO: Noh

Noh (tiga dari kiri) selepas Majlis Pelancaran Gegar Calon SPM 2020 menggunakan platform Streamyard di PPD Kuala Selangor di sini hari ini.
Noh (tiga dari kiri) selepas Majlis Pelancaran Gegar Calon SPM 2020 menggunakan platform Streamyard di PPD Kuala Selangor di sini hari ini.
A
A
A
KUALA SELANGOR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan tidak meletakkan calon di kerusi kubu kuat UMNO bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO akan terus mempertahankan kerusi dimenangi mereka termasuk di Parlimen Sabak Bernam walaupun Ahli Parlimennya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.

"Hak (kerusi dimenangi) UMNO, kami akan terus pertahankan, kami tidak akan memberi kerusi kubu kuat UMNO kepada Bersatu kerana hanya ahli Parlimen keluar parti sebaliknya yang bekerja untuk menang PRU-14 ialah UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Gegar Calon SPM 2020 menggunakan platform Streamyard di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor di sini hari ini.

Noh berkata, UMNO juga menghormati kerusi dimenangi Bersatu walaupun menang atas tiket PKR pada PRU14.

Ditanya adakah UMNO Selangor membuat perbincangan dengan Bersatu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan termasuk soal pengagihan kerusi PRU15.

Bagaimanapun, katanya, UMNO sentiasa bersikap terbuka sekiranya ada perbincangan dengan Bersatu bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru membabitkan UMNO, Pas dan Bersatu di negeri ini.

"Semua parti perlu bertolak ansur sekiranya ingin calon parti masing-masing menang dalam PRU-15.

"Prinsipnya mudah iaitu kita (UMNO, Pas dan Bersatu) perlu bersama-sama berkorban. Jangan hanya UMNO sahaja berkorban hingga hak (kerusi dimenangi UMNO) pun hendak diambil.
Artikel Berkaitan:


"Janganlah cawangan pun tiada dan ahli tidak ramai kita hendak minta kerusi kubu kuat parti tertentu untuk menang dalam pilihan raya," katanya.