X

Kindly register in order to view this article
!

Kegagalan lapisan tanah punca struktur jambatan runtuh

PDC mengenal pasti kegagalan lapisan tanah liat merupakan punca kepada keretakan pada struktur tersebut.
A
A

GEORGETOWN - Punca salah satu struktur tiang konkrit bertulang besi (pier) projek pembinaan Jambatan Batu Kawan merentasi Sungai Jejawi ke Jeti Batu Musang yang retak dan tidak utuh telah dikenal pasti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Mohd Bazid Abd Kahar berkata, siasatan awal oleh Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Pulau Pinang mendapati, kejadian itu adalah disebabkan kegagalan lapisan tanah liat lembut di bahagian bawah.

Menurutnya, kejadian itu juga telah mengakibatkan pergerakan tanah di seluruh pelantar sementara di kawasan tersebut.

"Setelah siasatan dilakukan, kita sudah mengetahui punca kejadian itu berlaku. Bagaimanapun, laporan lengkap yang dimuktamadkan akan siap dalam masa dua minggu lagi.

"Sementara itu, struktur 'pier' yang lain sudah diperiksa dan dilaporkan masih kukuh pada kedudukan asalnya. Namun, kontraktor akan terus memantau dan turut diawasi oleh jurutera profesional dalam memastikan keselamatan pekerja serta orang awam terjamin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Struktur tiang konkrit bertulang besi yang retak dilaporkan pada 16 November lalu.
Struktur tiang konkrit bertulang besi yang retak dilaporkan pada 16 November lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji kaedah yang akan digunakan untuk membina semula struktur tiang konkrit yang runtuh itu.

"Kaedah itu hanya akan diputuskan setelah kaedah pembinaan semula disahkan oleh pasukan penyiasat, perunding reka bentuk projek dan pihak berkuasa persetujuan tempatan," katanya.

Sebelum ini, Jambatan Batu Kawan yang menghubungkan Batu Kawan ke Bandar Cassia merentasi Sungai Jejawi sepanjang 211 meter mengalami runtuhan di bahagian struktur tiang kedua pada 16 November lalu namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Projek pelebaran jalan daripada dua lorong kepada enam lorong milik PDC di Jambatan Batu Kawan itu mula dilaksanakan pada 2017 dan dijangka siap tahun depan dengan melibatkan kos RM33.5 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!