X

Kindly register in order to view this article
!

Laporan Sinar Harian mengenai isu sindiket penyeludupan daging sejuk beku.
A
A

SHAH ALAM - Semua cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara akan diarah untuk melakukan pemeriksaan bersepadu dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) terhadap produk daging sejuk beku.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, surat arahan berhubung perkara itu akan dikeluarkan susulan terbongkarnya taktik menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkusnya semula dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di Johor baru-baru ini.

Katanya, mana-mana produk mempunyai logo atau perbahasan yang diedarkan oleh kedua-dua syarikat orang kena saman (OKS) dalam kes di Johor akan diambil tindakan dan disita.

“Kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menggunakan perbahasan halal secara palsu dan akan bekerjasama dengan agensi lain.

“Undang-undang berkaitan pengimportan masuk daging sejuk beku dikuatkuasakan oleh agensi-agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS).

“Hanya daging sejuk beku yang dikeluarkan oleh loji yang disahkan oleh DVS dibenarkan untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan yang akan diambil kementeriannya susulan terbongkarnya taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai pada Selasa lalu.

Hasil risikan Maqis mendapati kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Pegawai penguat kuasa memeriksa daging sejuk beku yang dipercayai diseludup dari luar negara.
Pegawai penguat kuasa memeriksa daging sejuk beku yang dipercayai diseludup dari luar negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini dua kertas siasatan telah dibuka oleh Seksyen Penguat kuasa, Pejabat KPDNHEP Johor Bahru berhubung produk daging sejuk beku yang menggunakan logo halal Jakim dan logo halal luar negara yang disyaki ditampal secara tidak sah.

Sehubungan itu, katanya, status halal daging sejuk beku itu diragui kerana penggunaan logo adalah disyaki secara tidak sah tersebut.

“Siasatan baru bermula dan kes sedang disiasat oleh KPDNHEP Johor. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pandangan sebelum kes diteruskan ke peringkat pengkompaunan atau pendakwaan.

“Pengesahan dan siasatan lanjut berdasarkan dokumen juga akan dibuat dengan agensi lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kementeriannya akan membawa isu tersebut kepada Kabinet, Alexander berkata, tindakan lanjut akan diambil berdasarkan perundangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

Katanya, pemeriksaan berkaitan penyalahgunaan logo halal bagi produk daging beku akan diteruskan dan operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan juga akan dilaksanakan.

“Perkara berkaitan pengimportan adalah di bawah bidang kuasa agensi lain seperti Kastam, DVS, Maqis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain.

“KPDNHEP juga akan memantau hasil siasatan terhadap kedua-dua kes ini terutama berkaitan dokumentasi pengimportan dan sumber dari mana produk tersebut dibawa masuk untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!