JPJ lancar kempen transaksi tanpa tunai

Aminurrahim
Aminurrahim
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan kempen transaksi tanpa tunai yang akan menjadi pemangkin kepada perkhidmatan lebih cekap dan berintegriti.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata, kempen dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara menjadi perintis di cawangan dan ibu pejabat bahagian utara semenanjung sebelum diperluas ke seluruh negara.

Beliau berkata, cawangan JPJ Pulau Pinang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sudah melaksanakan transaksi tanpa tunai.

“Bagaimanapun, sistem transaksi tanpa tunai ini dapat disegerakan di seluruh cawangan JPJ di UTC di seluruh negara bermula pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminurrahim berkata, pejabat JPJ Batu Uban di sini dan JPJ Perlis mula mengguna pakai kaedah baharu ini malah lebih 90 peratus pelanggan di kedua-dua cawangan terbabit telah menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, perkhidmatan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam malah selaras dengan kehidupan norma baharu pasca Covid-19 yang mengurangkan sentuhan.

"Ia juga dilihat mempunyai banyak kelebihan lain seperti memudahkan pelanggan untuk menjejaki rekod kewangan mereka secara sistematik,"katanya.

Sementara itu, Pengarah MPC Wilayah Utara, Dr Mazrina Mohd Ibramsah berkata, sebagai sebuah jabatan yang memacu produktiviti negara, menjadi tanggungjawab MPC untuk menyokong transformasi agensi kerajaan dan negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program transaksi tanpa tunai ini adalah selaras dengan program Behavioral Insight di bawah inisiatif Penang Produktif, Perlis Produktif dan Kedah Produktif.

"Antara perkhidmatan transaksi tanpa tunai di JPJ yang boleh digunakan oleh pelanggan ialah semua perkhidmatan JPJ termasuk pembaharuan lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

"Pelanggan hanya perlu membawa kad debit ATM atau kad kredit di mana-mana cawangan atau ibu pejabat JPJ," katanya.