Pekerja dakwa tidak tahu kegiatan majikan

Tiga pekerja gudang daging sejuk beku yang ditahan pihak berkuasa.
Tiga pekerja gudang daging sejuk beku yang ditahan pihak berkuasa.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] JOHOR BAHRU - Pekerja di sebuah gudang pembekal daging sejuk beku di Senai, di sini mengakui tidak mengetahui premis terbabit disyaki menjalankan kegiatan menyeludup masuk daging secara tidak sah.

Hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 27, dia mengaku sudah bekerja di gudang terbabit sejak dua tahun lalu sebagai pemandu lori.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kempas hanya ditugaskan untuk menghantar daging sejuk beku di kedai pelanggan termasuk pemborong dan pasar raya di sekitar Johor Bahru.

"Saya diambil bekerja dua tahun lalu. Sebelum masuk memang saya sudah bertanya sama ada premis ini menjual daging babi atau sebagainya dengan tidak sah, namun individu yang menguruskan kemasukan saya ketika itu mengatakan semuanya sah.

"Sebab itu saya yakin untuk bekerja di sini dengan bayaran gaji lebih RM2,000," katanya ketika ditanya Sinar Harian selepas ditahan semasa serbuan pihak berkuasa di gudang terbabit.

Pihak berkuasa memeriksa daging sejuk beku dalam serbuan di sebuah gudang di Senai.
Pihak berkuasa memeriksa daging sejuk beku dalam serbuan di sebuah gudang di Senai.

Beliau berkata, dia adalah antara tujuh pemandu lori yang ada di gudang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah, tambahnya, gudang terbabit juga mengedar daging sejuk beku di seluruh negara.

"Sepanjang saya kerja di sini, saya tidak tahu ada buat cap dan pelekat palsu. Tugas saya hanya datang untuk ambil barang dan menghantarnya.

"Lepas diserbu baru saya tahu. Jujur saya cakap, memang saya kerja untuk cari rezeki halal apatah lagi saya mahu berkahwin hujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu lori dikenali sebagai Ale, 52, juga mengakui dirinya tidak mengetahui kegiatan terbabit dijalankan di premis tempat dia bekerja.

"Tugas saya hanya hantar daging sejuk beku seperti daging lembu, kambing dan ayam. Berkenaan urusan dokumen itu, ia adalah urusan pejabat, kami pekerja biasa tidak kacau," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal