Kanser penyebab kedua kematian

Dr Dzulkefly Ahmad - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kanser merupakan penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tiga jenis kanser yang tertinggi di kalangan lelaki di Malaysia adalah 16.4 peratus kolorektal , 15.8 peratus paru-paru dan 8.1 peratus nasopharynx.

Manakala kanser payudara menjadi yang tertinggi di kalangan wanita dengan peratusan sebanyak 32.1 diikuti 10.7 peratus kolorektal dan 7.7 peratus serviks.

Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh prevalen faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi dan populasi menua di negara ini.

"Satu aspek penting yang perlu ditekankan adalah kepentingan pengesanan kanser pada peringkat awal.

"Dianggarkan 60 peratus kanser dikesan pada tahap yang lewat (tahap tiga dan empat)," katanya.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal.

"KKM menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM di seluruh negara.

Manakala saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital KKM," katanya.

Beliau berkata, bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh KKM dan organisasi-organisasi bukan kerajaan, persatuan dan kumpulan sokongan pesakit kanser di seluruh negara dan di pelbagai peringkat.

"Setiap rakyat perlu memainkan peranan masing-masing demi mengurangkan beban kanser yang saban tahun semakin meningkat," katanya.

Sambutan Hari Kanser Sedunia disambut dengan tema I Am and I Will (Saya akan dan saya boleh).