Pemberian vaksin pneumokokal tepat pada masa

Dr Adham (berdiri, dua dari kanan) melihat proses suntikan imunisasi tersebut di KKIA Raub hari ini.
Dr Adham (berdiri, dua dari kanan) melihat proses suntikan imunisasi tersebut di KKIA Raub hari ini.
A
A
A

RAUB - Pemberian suntikan imunisasi pneumokokal kepada kanak-kanak di negara ini bermula hari ini disifatkan sebagai tepat pada masanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini berikutan terdapat peningkatan kes membabitkan penyakit berkaitan jangkitan pneumokokal.

Menurutnya, pada tahun 2019 sebanyak 19,773 kes penyakit dicatatkan melibatkan kanak-kanak yang dirawat di hospital di bawah kementerian.

"Jumlah ini meningkat berbanding tahun 2017 iaitu sebanyak 17,446 kes dicatatkan.

"Untuk itu pelaksanaan imunisasi ini sangat penting dan tepat pada waktunya diberikan kepada kanak-kanak untuk mencegah penyakit berkaitan pneumokokal," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Imunisasi Pneumokokal Untuk Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Raub di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Muin dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah.

Dr Adham bersama Rusnaini dan anaknya, Hazim yang menjadi bayi pertama menerima suntikan tersebut di KKIA Raub hari ini.
Dr Adham bersama Rusnaini dan anaknya, Hazim yang menjadi bayi pertama menerima suntikan tersebut di KKIA Raub hari ini.

Seramai lima kanak-kanak menerima suntikan vaksin sempena pelancaran tersebut di KKIA Raub yang turut dilancarkan secara serentak di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di semua Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Adham juga memberitahu, mereka yang tercicir iaitu yang lahir bermula 1 Januari 2020 akan dikenal pasti untuk diberikan dos mengikut julat ditetapkan.

"Tahun ini kita bermula lewat iaitu Disember walaupun diberitahu paling awal pada Januari dan kelewatan ini disebabkan pandemik Covid-19.

"Kita akan selesaikan mereka yang patut diberikan terlebih dahulu, manakala mereka yang lahir bermula hari ini masih tidak layak diberikan dan hanya akan menerima suntikan pada Mac 2021," katanya.

Seramai 500,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun dijangka menerima manfaat suntikan imunisasi tersebut setiap tahun.

Sementara itu, bagi seorang penjawat awam, Rusnaini Ishak, 37, dari Taman Pasdec Perdana, di sini bertuah selepas anak bongsunya, Hazim Syafi Hashazuraimy, lapan bulan menjadi bayi pertama menerima suntikan imunisasi sempena pelancaran tersebut.

"Gembira dan dalam masa sama bersyukur kerana berpeluang menerima imunisasi ini. Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana dapat melaksanakan program ini," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Pemberian vaksin pneumokokal mulai bulan depan