X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang kesal Kementerian Kewangan tolak pinjaman bina LRT

Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang kesal apabila Kementerian Kewangan sekali lagi menolak permohonannya untuk mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion bagi membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar–Bayan Lepas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak tiga kali kementerian terbabit menyatakan pendiriannya menolak permohonan kerajaan negeri sedangkan projek terbabit begitu penting terhadap pembangunan ekonomi negeri itu.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan menerusi suratnya bertarikh 1 Oktober 2019 bahawa bon-bon oleh Kerajaan Negeri berhubung projek berkaitan akan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak akan berputus asa, sebaliknya bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT berkaitan kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya mempunyai beberapa opsyen kewangan lain bagi membiayai projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

"Dalam masa sama Kerajaan Negeri juga akan terus menyuntik keyakinan Kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan terhadap pembiayaan projek LRT serta layanan setimpal kepada Pulau Pinang yang telah dan terus memainkan peranan penting dengan menjuarai aspek pelaburan langsung asing (FDI) sektor pembuatan negara," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau telah menyuarakan perkara itu kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam sesi perbincangan berhubung peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada Negeri Pulau Pinang Khamis lalu di ibu negara.

Katanya, pendirian sama turut dinyatakan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri sesi dialog Konsultasi Belanjawan 2021: Pulau Pinang anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 8 Ogos lalu dan Sesi Libat Urus Penyediaan RMK-12 bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2 Ogos 2019 di Pulau Pinang.

Semalam, Tengku Zafrul berkata, tidak ada persetujuan diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman asing bernilai RM2 bilion.

Katanya, justeru tidak timbul persoalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik jaminan pinjaman untuk membiayai projek LRT itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!