X

Kindly register in order to view this article
!

Biden umum semua wanita dalam pasukan komunikasi

Biden
A
A

WASHINGTON - Joe Biden berhasrat melantik bekas jurucakap Jabatan Negara Obama, Jen Psaki, sebagai setiausaha akhbar Rumah Putih, lapor agensi berita Sputnik, memetik pengumuman pasukan peralihan Biden.

Pada Ahad, pasukan Biden mengumumkan anggota baharu kakitangan Rumah Putih sebagai pegawai kanan komunikasi.

"Saya hari ini berbesar hati mengumumkan pasukan pertama komunikasi Rumah Putih yang terdiri pegawai kanan, kesemuanya wanita. Kelayakan dan pengalaman mereka akan menyumbang kepada usaha membangun negara ini dengan lebih baik," kata Biden pada Ahad.

Pasukan komunikasi Biden bakal diterajui Kate Bedingfield, pegawai yang telah lama bertugas sebagai pengarah komunikasi kempennya dan kini akan menjadi Pengarah Komunikasi Rumah Putih. Biden juga menamakan Jen Psaki sebagai Setiausaha Akhbar Rumah Putihnya pada Ahad.

"Berasa bangga untuk berkhidmat lagi dengan @JoeBiden, seorang lelaki yang saya pernah bekerja semasa Pentadbiran Obama-Biden kerana beliau membantu memimpin pemulihan ekonomi, membina semula hubungan kami dengan rakan kongsi (ternyata merupakan amalan yang baik) dan menyuntik rasa empati dan kemanusiaan hampir dalam setiap pertemuan yang saya terlibat," tulis Psaki di Twitter pada Ahad.

Pasukan peralihan Biden juga menamakan Symone Sanders sebagai jurucakap Kamala Harris, Ashley Etienne (Pengarah Komunikasi Harris), Karine Jean-Pierre (Timbalan Setiausaha Akhbar), Pili Tobar (Timbalan Pengarah Komunikasi Rumah Putih), dan Elizabeth E Alexander (Pengarah Komunikasi untuk Wanita Pertama).

Media utama Amerika Syarikat (AS) mengunjurkan calon Demokrat Joe Biden sebagai pemenang pilihan raya presiden 3 November lalu. Keputusan rasmi belum diumumkan.

Presiden Donald Trump mengatakan beliau akan meninggalkan Rumah Putih sekiranya undi elektoral memihak kepada Biden. Trump berulang kali menyatakan kemenangannya dalam pilihan raya presiden November dirampas melalui penipuan besar-besaran.

Awal bulan ini, Trump memberi kuasa kepada Pentadbiran Perkhidmatan Awam untuk memulakan peralihan rasmi kepada pasukan Biden sambil terus mempertikaikan keputusan pilihan raya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!