Trump kalah lagi

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

WASHINGTON - Mahkamah Agung Pennsylvania semalam menolak satu lagi tuntutan undang-undang dikemukakan kem Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memberi tamparan hebat kepada bilionair hartanah tersebut.

Di bawah tuntutan undang-undang itu, ia cuba untuk membatalkan undi pos yang menyaksikan bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden memenangi kira-kira 81,000 undi dan menuntut badan perundangan negeri yang pernah menjadi kubu kuat Republikan tersebut untuk membuat keputusan.

Mahkamah bagaimanapun sebulat suara menolak tuntutan tersebut yang turut mendakwa undang-undang Pennsylvania diguna pakai pada 2019 yang membenarkan undi pos sebagai tidak berperlembagaan.

Para hakim menegaskan cabaran dikemukakan terhadap undang-undang itu pada 21 November lalu sudah terlambat dan keputusan pemilihan itu adalah tepat serta tidak wajar dipertikaikan berikutan Pennsylvania juga telah mengesahkan kemenangan Biden pada Selasa lalu.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan Persekutuan juga menolak tuntutan Trump yang mendakwa pemilihan itu tidak adil dan enggan membekukan kemenangan Biden di Pennsylvania.

Sehingga kini, Trump masih enggan berputus asa untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November lalu yang didakwa dicemari penipuan hingga menyebabkan beberapa negeri yang menjadi kubu kuat Republikan bertukar tangan kepada Demokrat.

Khamis lalu, beliau menyatakan akan keluar dari Rumah Putih jika Badan Perwakilan Pemilih mengesahkan kemenangan Biden pada 14 Disember depan yang meraih 306 undi elektoral berbanding 232 undi elektoral yang diperoleh Trump. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Trump keluar Rumah Putih jika kemenangan Biden disahkan

Artikel Berkaitan:

Trump masih tidak putus asa