Trump keluar Rumah Putih jika kemenangan Biden disahkan

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan meninggalkan Rumah Putih jika kolej elektoral mengesahkan kemenangan Joe Biden pada Pilihan Raya Presiden 2020.

Kolej elektoral akan bersidang pada 14 Disember ini untuk memilih presiden, setelah pengundi mengundi pada 3 November lalu.

Calon Demokrat, Biden memperoleh 306 undi berbanding Trump sebanyak 232 undi.

Biden juga mendahului Trump dengan lebih daripada enam juta dalam undi popular di seluruh negara.

Biden dan naib presiden yang dipilih, Kamala Harris akan mengangkat sumpah pada 20 Januari 2021.

Trump setakat ini menolak keputusan pilihan raya dan terus membuat dakwaan tanpa bukti bahawa pilihan raya itu dicemari oleh penipuan yang meluas, selain menegaskan dirinya adalah pemenang sebenar.

Sistem pilihan raya di AS menyaksikan calon boleh menang pilihan raya tanpa memperoleh undian tertinggi keseluruhan pada peringkat nasional.

Ini berlaku pada pilihan raya 2016 di mana Trump memenangi majoriti undian kolej elektoral walaupun ketika itu, lebih ramai individu mengundi Hillary Clinton. - Agensi

Artikel Berkaitan: