Kilang haram didakwa punca air berbau pandan

Wee Tse menunjukkan hasil ujian dari makmal swasta berhubung kejadian air berbau pandan pada Julai lalu.
Wee Tse menunjukkan hasil ujian dari makmal swasta berhubung kejadian air berbau pandan pada Julai lalu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Insiden air berbau seakan pandan yang berlaku pada Julai lalu membabitkan pengguna di kawasan Johor Bahru dan Kulai didakwa berpunca daripada pembuangan bahan kimia di sebuah kilang haram di Jalan Kota Tinggi-Kulai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, bau seakan pandan itu dipercayai dari bahan kimia Tetrahydrofuran (THF) yang digunakan bagi melarutkan bahan plastik.

“Hasil ujian dari sebuah makmal swasta terhadap air yang berbau pandan itu didapati ada THF yang boleh beri kesan kepada otak manusia.

“Kita bimbang jika ada bahan kimia lain selain THF, akan berlaku pencemaran air di negeri ini seperti yang berlaku di Selangor,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Dalam pada itu, Wee Tse meluahkan rasa kecewa terhadap maklum balas kerajaan negeri terhadap isu tersebut memandangkan tiada tindakan diambil terhadap kilang haram berkenaan yang didakwa milik warga Singapura.

“Tidak cukup sekadar dikompaun, kilang tersebut sepatutnya ditutup.

“Untuk makluman, Sungai Johor merupakan punca bekalan air untuk 1.3 juta pengguna air di Johor Bahru dan Kulai,” katanya.

Dalam pada itu ADUN Skudai, Tan Hong Pin berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang lewat bertindak berhubung insiden air berbau pandan itu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita bangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Exco bertanggungjawab tidak menjawab isu ini.

“Ini menunjukkan kerajaan negeri seolah tidak ambil serius terhadap isu tersebut,” katanya.