Belanjawan 2021: MP cadang kurangkan peruntukan pembangunan

Hassan - Foto internet
Hassan - Foto internet
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mencadangkan peruntukan RM71 bilion untuk tujuan pembangunan dalam Belanjawan 2021 dipinda dengan mengurangkan jumlahnya.

Beliau mencadangkan peruntukan pembangunan pada tahun depan itu mengikut peruntukan pembangunan pada tahun ini iaitu RM50 bilion kerana dana selebihnya boleh digunakan untuk menguruskan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Belanjawan 2021 yang diluluskan kelmarin masih boleh dipinda, saya cadangkan peruntukan pembangunan untuk tahun depan hanya RM50 bilion. Dalam Belanjawan 2021 diperuntukkan RM71 bilion untuk pembangunan, tolak RM2 bilion untuk kecemasan masih ada RM69 bilion.

"Daripada RM69 bilion ini, kita peruntukan RM50 bilion untuk pembangunan, manakala selebihnya RM19 bilion kita campurkan dengan peruntukan RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19, jadi jumlahnya RM36 bilion.

"Daripada RM36 bilion, RM3 bilion boleh beli vaksin, RM3 bilion untuk rakyat lakukan swab test, RM10 bilion untuk petugas barisan hadapan dan RM20 bilion bantu rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan banjir di Kampung Sungai Rinting D di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul Belanjawan 2021 diluluskan

Perbelanjaan 2021 terbesar dalam sejarah

Hassan berkata, menerusi RM20 bilion itu, kerajaan boleh menyalurkan kepada mereka yang hilang pekerjaan dengan memberikan RM1,000 sebulan sehingga dapat pekerjaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Hassan Karim meninjau lokasi tebing sungai yang runtuh sebelum ini hingga mengakibatkan banjir di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang hari ini.
Hassan Karim meninjau lokasi tebing sungai yang runtuh sebelum ini hingga mengakibatkan banjir di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang hari ini.

Menerusi bantuan itu katanya, akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu dikeluarkan dan kerajaan akan benar-benar membantu rakyat, bukannya mengeluarkan wang caruman mereka sendiri yang sepatutnya digunakan semasa pencen.

Katanya, pindaan peruntukan dalam belanjawan nasional itu adalah wajar dalam keadaan rakyat sedang susah berdepan pandemik berkenaan.

Menurut Hassan, belanjawan tersebut yang sudah dibahas dan diluluskan akan masuk pada peringkat jawatankuasa dengan setiap kementerian akan membincangkannya secara terperinci.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas dan seramai 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung sejak 9 November lalu.

Mengikut Takwim Dewan Rakyat, selepas ini akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagian sekali lagi diadakan.