Ibu tunggal bersengkang mata sara empat anak

Noriah (kanan) bersama anak-anaknya kini menjalani hidup berdikari selepas kematian suami pada awal Oktober lalu.
Noriah (kanan) bersama anak-anaknya kini menjalani hidup berdikari selepas kematian suami pada awal Oktober lalu.
A
A
A

KOTA BHARU – Walaupun baru sahaja kehilangan suami tersayang, namun seorang ibu tunggal di Melor, di sini sanggup bersengkang mata demi menyara empat anaknya.

Noriah Ismail, 36, hilang tempat bergantung selepas suaminya, Rostam Mamat meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Melor, awal Oktober lalu.

Mengadun karipap setiap hari, itulah rutin harian Noriah yang kadang-kala dibantu anak-anaknya, Nur Fairuz Syakirah, 11, Muhaimin Hilmi, 9, Mohamad Ilyas, 7, dan Nur Uzma Amirah, 5.

Noriah yang berasal dari Tanah Merah memberitahu, kini dia bergantung harap sepenuhnya kepada jualan karipap pusingnya yang dulunya dilakukan sekadar mahu meringankan beban suami.

Katanya, dia kini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan namun tidak berdaya untuk melakukannya sendiri memandangkan masih lagi menggunakan cara lama untuk menguli dan mengadun tepung tersebut.

“Saya berharap kalau ada mesin menguli dan mengadun, bolehlah saya buat karipap dalam kuantiti yang lebih banyak daripada biasa.

“Sekarang ini memang tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan. Hasil jualan karipap hanya dapat RM300 sahaja sebulan. Memang tidak cukup tapi saya cuba untuk buat lebih supaya dapat lebih.

“Belanja dapur pun tidak lepas tapi insya-ALLAH saya yakin rezeki itu di mana-mana. Saya tidak pernah rasa susah untuk menjaga keempat-empat orang anak ini. Anugerah ALLAH untuk saya hadapi ujian ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noriah turut dikunjungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Chempaka Merah Asnaf Society yang diketuai Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed dan turut disertai oleh NGO Third Force dan I-Kasih di rumahnya hari ini yang membawa sumbangan keperluan dapur.

Noriah turut berharap satu masa nanti dia akan dapat memperkenalkan karipap jualannya ke seluruh Kelantan memandangkan amat jarang peniaga yang menjual karipap pusing pada masa kini.

Dijual dengan harga RM40 untuk 100 biji, ia bukanlah satu jumlah yang besar buat Noriah memandangkan beliau masih mempunyai komitmen lain yang perlu dilaksanakan.