Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun

Mangsa banjir merentas jalan yang dinaiki air di Kampung Nyior Pelong, Setiu ketika kawasan itu dinaiki air baru-baru ini. Gambar kecil:Che Adam
Mangsa banjir merentas jalan yang dinaiki air di Kampung Nyior Pelong, Setiu ketika kawasan itu dinaiki air baru-baru ini. Gambar kecil:Che Adam
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Keseluruhan mangsa banjir di Terengganu hari ini berkurangan kepada 361 orang berbanding yang direkodkan 530 orang semalam.

Berdasarkan laporan harian banjir Jabatan Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu (JPBN), sehingga pagi ini sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri melibatkan empat daerah iaitu Kuala Nerus, Dungun, Kuala Terengganu dan Marang.

Seramai 30 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kuala Terengganu, 224 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di enam PPS di Kuala Nerus, 81 mangsa dari 19 keluarga ditempatkan di empat buah PPS di Dungun manakala 26 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Marang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan cuaca masih belum beransur pulih sepenuhnya dan semua penduduk di kawasan berisiko diminta sentiasa berjaga-jaga.

“Kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pagi ini cuaca agak baik dengan mendung dan tiada hujan namun berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) terdapat amaran jingga atau cuaca buruk dan waspada di Terengganu.

“Hujan lebat masih berlaku di beberapa kawasan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Hulu Terengganu sehingga awal pagi tadi dan difahamkan beberapa kawasan di Hulu Terengganu telah dinaiki air sedikit tetapi belum ada sebarang pemindahan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, paras air di beberapa sungai menaik kepada paras berjaga-jaga dan paras amaran seperti Sungai Penih di Felda Mengkawang; Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Telemong yang melebihi 0.01 meter pada paras amaran manakala Sungai Kemaman di Kampung Air Putih melebihi paras amaran 0.04 meter.

“Maklumat awal diterima memaklumkan jambatan Teladas di kawasan Hulu Kemaman ditutup untuk kenderaan ringan buat masa ini dan akan dikemas kini dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita juga dimaklumkan kemungkinan akan ada pusat pemindahan dibuka di daerah Dungun dan kini masih dalam proses,” katanya.