X

Kindly register in order to view this article
!

Ada arahan PH minta ahli Parlimen tidak undi belah bahagi

Dr Lee Boon Chye
A
A

[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mendedahkan terdapat arahan dikeluarkan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) meminta semua ahli pemimpin parti-parti daripada pakatan itu tidak mengadakan undi belah bahagi usul Belanjawan 2021 sebentar tadi.

Boon Chye yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keputusan itu dikeluarkan kepimpinan tertinggi PH pada malam semalam kepada semua ahli Parlimen PH termasuk ahli-ahli Parlimen daripada PKR.

Menurutnya, keengganan sebahagian besar ahli Parlimen blok pembangkang untuk menyokong cadangan undi belah bahagi dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar disebabkan akur dengan arahan itu.

"Kita akur kepada arahan kepimpinan tertinggi PH supaya tidak perlu diadakan undi belah bahagi terhadap usul Belanjawan 2021 dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat dasar.

"Keputusan itu dikeluarkan pada malam tadi dan saya enggan ulas lanjut mengenainya. Boleh tanya kepimpinan tertinggi PH sendiri," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kegagalan ahli-ahli Parlimen blok pembangkang untuk mencadangkan undi belah bahagi diadakan dalam menentukan kelulusan usul Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat petang tadi.

Berikutan itu, kerajaan PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terselamat daripada ancaman usul Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Terdahulu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar cuba meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk melaksanakan proses pengundian menerusi kaedah undi belah bahagi.

Bagaimanapun, cadangan Mahfuz gagal apabila hanya 13 ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyokong cadangan undi belah bahagi daripada jumlah sepatutnya diperlukan, 15 ahli Parlimen.

Senarai 13 Ahli Parlimen tidak menyokong Belanjawan 2021 dan memohon untuk undi belah bahagi ialah, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang - Langkawi); Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang - Jerlun); Datuk Mahfuz Omar (Amanah - Pokok Sena); Khalid Samad (Amanah - Shah Alam); Hanipa Maidin (Amanah - Sepang); Mohamad Sabu (Amanah - Kota Raja); Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (Amanah - Parit Buntar); Datuk Hatta Ramli (Amanah - Lumut); Datuk Anuar Tahir (Amanah - Temerloh); Datuk Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah - Kuala Selangor); Datuk Hasanuddin Yunus (Amanah - Hulu Langat); Hasan Bahrom (Amanah - Tampin); dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah - Pulai).

Tindakan sebilangan ahli Parlimen pembangkang itu menimbulkan tanda tanya sama ada mereka benar-benar bekerjasama untuk menolak usul Belanjawan 2021 sebagaimana disuarakan mereka sebelum ini.

Lantaran itu, laman sosial terutamanya Twitter kini panas dengan isu kegagalan blok pembangkang dalam meminta undi belah bahagi di Dewan Rakyat sebentar tadi.

"Pung pang pung pang last-last diam. Dah lah kita kat bawah ni bermatian meyakinkan orang ramai kenapa bajet ni tak patut lulus. Serius dah malas sembang politik. Baik main dengan kucing," kata Setiausaha Publisiti bagi Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim menerusi Twitternya.

Pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza pula menukarkan logo Pakatan Harapan kepada Tak Boleh Harap di Twitternya.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul Belanjawan 2021 diluluskan

Tun M umum tolak Belanjawan 2021

Muhyiddin perlu menghadap Agong jika belanjawan tidak lulus

Belanjawan 2021: Agong titah lulus tanpa gangguan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!