RM20 juta bina Rumah Ihsan Makmur Johor

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. Foto: Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memperuntukkan RM20 juta untuk membina Rumah Ihsan Makmur Johor (RIMJ) sebagai tambahan kepada pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kira-kira 400 unit RIMJ akan dibina yang merupakan agenda keempat Belanjawan Johor 2021 iaitu Prasarana Johor.

"Menerusi kerjasama Maybank, kerajaan negeri akan memperkenalkan satu Program Sewa Beli. Program ini bakal meringankan bebanan wang pendahuluan untuk pembeli-pembeli rumah.

"Ini untuk membantu penyewa-penyewa rumah, bantuan bayaran sewaan rumah sewa akan dilaksanakan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan peruntukan berjumlah RM800,000,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga berhasrat untuk meningkatkan sasaran pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) agar dapat dimiliki oleh golongan sasar iaitu B40, M40 dan anak muda.

"Selaras itu, kerajaan negeri akan memastikan pembinaan RMBJ diselarikan dengan perumahan lain menerusi penambahbaikan Dasar Perumahan Rakyat Negeri Johor.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan tiada lagi pembinaan RMBJ yang dilaksanakan hanya pada fasa akhir sesuatu projek," katanya.

Menurutnya, pemberian baucar kepada pembeli RMBJ akan diteruskan dengan peningkatan daripada RM1,000 menjadi RM3,000 yang diharapkan dapat membantu menampung kos memasuki kediaman baharu.

Artikel Berkaitan:

Hasni berkata, hingga kini sebanyak 21,479 unit RMBJ telah siap dibina dari 2014 hingga 2019.

“Salah satu inisiatif tersebut ialah projek pembinaan RMBJ kerjasama syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di daerah Kluang, Tangkak, Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian dengan peruntukan RM310 juta bagi tempoh lima tahun.

"Sebagai tambahan, empat projek Taman Perbadanan Islam akan turut dibangunkan di Pontian, Batu Pahat dan Johor Bahru oleh PIJ Holdings," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga komited untuk melaksanakan inisiatif pengecualian sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) bersasar sepanjang 2021.

Inisiatif itu katanya, akan memberi manfaat kepada 70 peratus penyewa bermula 1 Januari 2021.

“Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk meneruskan dan memperbanyakkan projek perumahan di bawah Skim Perumahan Makmur Johor (SPMJ).

“Dengan kerjasama PBT, kerajaan negeri akan memperkenalkan Kempen Transisi 2.0 dalam tempoh satu tahun bermula 3 Januari 2021 untuk terus menggalakkan pemaju membina RMBJ selain mengadakan Ekspo Hartanah Bumiputera di seluruh Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta