[VIDEO] Lebih 2,000 penjawat awam disiasat

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 2,287 kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan mengenai kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dari 2016 sehingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

Dalam hal itu, menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

"Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah telah dilaksanakan sebagai pencetus usaha-usaha pencegahan rasuah.

"Sebagai contoh setiap agensi perlu tools seperti Corruption Risk Management (CRM), Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Anti Bribery Management System dalam usaha mengekang perlakuan rasuah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) mengenai statistik salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan apakah langkah-langkah pencegahan yang

sedang dilakukan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, jumlah agensi yang telah melaksanakan keterlibatan (engagement) dengan SPRM bagi tujuan pelaksanaan CRM dan OACP iaitu Corruption Risk Management (CRM) ialah sebanyak 139 buah agensi.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), sebanyak 40 buah agensi kerajaan turut mengambil inisiatif untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sistem akademik atau pendidikan formal di Institut Pengajian Tinggi (IPT)," katanya.

Tambahnya, perkara itu adalah selaras dengan inisiatif 2.4.7 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu 'memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib universiti pada peringkat ijazah pertama yang menekankan kepada aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran’.