Panjangkan semula tempoh bayaran pinjaman, pembiayaan peribadi

Adnan Mat.
Adnan Mat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk pertimbangkan cadangan memanjangkan semula had tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada 20 tahun.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya melihat langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula ketika rakyat sedang terkesan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah.

Menurutnya, bayaran semula pinjaman yang rendah ini membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan.

"Mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi untuk berniaga juga tidak begitu bimbang berbuat demikian kerana bayaran bulanan pinjaman tersebut akan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

"Mana-mana rakyat yang terjejas pendapatan juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang mereka mampu," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Adnan berkata, penstrukturan semula pinjaman juga boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku.

"Secara keseluruhannya langkah ini dijangka mampu merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat lebih bertambah serta mengurangkan tekanan hidup rakyat.

"Pada masa yang sama operasi perniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia Bank Negara juga boleh berkembang semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pada tahun 2013 Bank Negara mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun.

Langkah tersebut mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam baharu menjadi lebih besar, sekali gus mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.