72,182 individu pulang ke tanah air

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 72,182 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 74 hotel serta 18 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 9,855 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Manakala 61,923 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya hari ini sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Berkaitan pemantauan barang keperluan asas, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 673 premis perniagaan termasuk 482 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang.

Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 1,045 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya, sebanyak 35 operasi sanitasi meliputi sembilan zon merah, tiga zon jingga, enam zon kuning dan sembilan zon hijau melibatkan 10 negeri dan dua Wilayah Persekutuan kecuali Putrajaya, Sarawak dan Terengganu. - Bernama

Artikel Berkaitan: