Maqis Perlis rampas 1,440kg keluaran pertanian tanpa permit

Maqis Perlis mematahkan cubaan membawa masuk keluaran pertanian tanpa permit yang sah di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.
Maqis Perlis mematahkan cubaan membawa masuk keluaran pertanian tanpa permit yang sah di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.
A
A
A

PADANG BESAR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perlis mematahkan cubaan membawa masuk keluaran pertanian seberat 1,440 kilogram (kg) tanpa permit yang sah di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.

Pengarah Maqis Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, rampasan hasil pertanian seperti pisang, mangga, nanas, cili besar dan ubi kemili yang dianggarkan bernilai RM9,450 itu susulan pemeriksaan terhadap dua buah lori dari negara jiran.

“Kesemua dagangan tersebut telah dirampas oleh pihak Maqis untuk tindakan lanjut.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import itu akan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Arshad berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, Maqis sentiasa komited memastikan setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin keselamatan makanan, bebas daripada perosak dan penyakit serta halal. - Bernama

Artikel Berkaitan: