231 saman dikeluarkan Ops Khas Motosikal

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ke atas motosikal pada Ops Khas Motosikal di Jalan Tanjung Lumpur di sini, malam tadi.
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ke atas motosikal pada Ops Khas Motosikal di Jalan Tanjung Lumpur di sini, malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Sikap pengguna jalan raya yang mengambil mudah peraturan jalan raya seperti tiada kesudahan apabila masih ramai yang terus berdegil melakukan kesalahan itu terutama memandu tanpa lesen dan menggunakan kenderaan tanpa cukai jalan.

Pada Ops Khas Motosikal Sempena Operasi Tahun Baharu Cina 2019 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di empat lokasi seluruh negeri malam tadi, dua kesalahan itu mencatatkan kes tertinggi iaitu 212 kes daripada 336 kes kesalahan dikesan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Mohammad Abdullah berkata, bagi kesalahan tiada lesen memandu, sebanyak 86 kes diambil tindakan manakala kenderaan tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans sebanyak 126 kes.

Menurutnya, pada operasi yang diadakan serentak di empat lokasi iaitu di di Kilometer 126 Jalan Kuantan –Segamat, Tanjung Lumpur di sini, Jalan Tengku Ismail, Temerloh dan Jalan Cheroh-Raub, secara keseluruhannya, hampir 1,000 kenderaan diperiksa dan 336 kesalahan dikesan.

“Sebanyak 231 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 75 notis dikeluarkan termasuk notis larangan penggunaan kenderaan dan notis arah periksa manakala enam kenderaan dikenakan tindakan sita.

“Ops Khas Motosikal bersepadu kali ini disertai 345 anggota termasuk pegawai dari JPJ, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Imigresen,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata demikian selepas ops berkenaan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Mohammad berkata, turut terlibat, pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Puspakom dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, pada operasi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu, pihak polis mengeluarkan 35 saman atas pelbagai kesalahan manakala AADDK melakukan saringan air kencing ke atas 38 pengguna jalan raya dan empat daripadanya didapati positif dadah.

“Sementara itu, tindakan daripada pihak JPN, daripada 72 pengguna diperiksa, satu kes tiada kad pengenalan dikesan manakala satu kes diambil tindakan oleh pihak Jabatan Imigresen,” katanya.

Menurutnya, Ops Khas Motosikal itu akan disambung malam ini bagi mengesan pengguna jalan raya yang terus berdegil melanggar peraturan jalan raya yang ditetapkan.

“Saya berterima kasih atas komitmen semua agensi terlibat pada operasi ini dan diharap kerjasama ini berterusan sepanjang Ops Tahun baru Cina ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sempena Ops Tahun Baharu Cina yang diadakan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) malam kelmarin, pihaknya bertindak menahan lesen memandu seorang pemandu bas ekspres selepas dikesan positif dadah.

Katanya, pemandu berusia 37 tahun itu ditahan sebelum memulakan perjalanan dari TSK ke satu destinasi lain.

“Susulan ini, pihak syarikat terpaksa menyediakan pemandu gantian sebelum bas terbabit dibenarkan bertolak ke destinasi tujuan,” katanya.