Peneroka ditetak biarkan ternakan ceroboh kawasan

Mangsa ditetak kerana didakwa membiarkan lembu diternak memasuki kawasan tanaman rumput suspek yang juga seorang peneroka di Ketengah Jaya di sini kelmarin. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Superintendan Baharudin Abdullah)
Mangsa ditetak kerana didakwa membiarkan lembu diternak memasuki kawasan tanaman rumput suspek yang juga seorang peneroka di Ketengah Jaya di sini kelmarin. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Superintendan Baharudin Abdullah)
A
A
A

DUNGUN - Seorang peneroka cedera ditetak dengan parang oleh lelaki yang dikenali dalam kejadian di Ketengah Jaya di sini kelmarin.

Mangsa berusia 62 tahun didakwa membiarkan lembu diternak memasuki kawasan tanaman rumput suspek yang juga seorang peneroka.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berusia 60-an bertindak menahannya di tepi jalan ketika menunggang motosikal difahamkan dalam perjalanan ke kandang lembunya.

Menurut sumber, suspek memarahi warga emas lelaki itu sehingga berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

"Suspek yang gagal mengawal marah dikatakan dikatakan mengambil sebilah parang dan menyerang mangsa.

"Akibatnya mangsa jatuh dari motosikalnya sebelum suspek bersama menantunya yang turut berada di lokasi kejadian segera beredar.

"Mangsa yang luka di pipi kanan pulang ke rumahnya sebelum dibawa anaknya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya. Mangsa menerima lapan jahitan.

"Laporan polis dibuat di Balai Polis Ketengah Jaya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.