X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada sekolah daif di Johor: Exco

Aminolhuda (tujuh, kiri) bersama penerima bantuan.
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor berpuas hati dengan kerjasama diberikan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menyalurkan maklumat serta permasalahan dihadapi sekolah di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sepanjang lapan bulan menerajui portfolio pendidikan negeri, beliau tidak menerima sebarang maklumat berkaitan sekolah daif di negeri ini.

"Apa yang saya boleh katakan, semua sekolah di negeri ini berada dalam keadaan memuaskan kerana JPJNJ serta PPD juga telah memberikan kerjasama yang baik dengan menyalurkan maklumat serta permasalahan untuk diambil tindakan.

"Lagipun, kami di peringkat kerajaan negeri juga sering 'turun padang' untuk melihat sendiri keadaan setiap sekolah sama ada sekolah itu milik kerajaan pusat atau kerajaan negeri kerana kita tidak pandang remeh soal kebajikan serta kemudahannya," katanya.

Beliau yang juga Adun Parit Yaani berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat Pakatan Harapan Johor (Jasmine) di Taman Maju, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jasmine yang juga isteri Menteri Besar Johor, Datin Nora Mohd Som; Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan; Abu Bakar Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal dan Adun Penggaram, Gan Peck Cheng.

Menurutnya, beliau juga menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, kelmarin, yang mahukan setiap sekolah tidak berdiam diri jika mempunyai masalah dengan melaporkannya kepada PPD atau JPN.

"Saya menyokong pandangan beliau (Dr Maszlee) kerana jika sesebuah sekolah itu tidak memaklumkan masalah mereka kepada PPD dan JPN, kita tidak akan tahu masalah yang dihadapi sehingga menyebabkan tiada sebarang tindakan yang dapat diambil.

"Setakat ini di negeri Johor hanya terdapat sebuah sekolah sahaja yang mempunyai masalah kekurangan kelas iaitu di kawasan pentadbiran PPD Johor Bahru akibat pertambahan penduduk di kawasan berkenaan dan tindakan sewajarnya juga telah diambil," katanya.

Menurutnya, untuk tahun ini juga, JPNJ akan adakan semakan sekali lagi sekiranya terdapat masalah sekolah yang terlepas pandang dan kerajaan negeri akan berhubung dengan setiap PPD di negeri ini untuk melaksanakan semakan berkenaan.

Sementara itu, Nora berkata, melalui sumbangan Tahun Baharu Cina tersebut, 100 golongan memerlukan menerima angpau dan barangan keperluan harian untuk kegunaan semasa sambutan perayaan terbabit yang akan tiba beberapa hari lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus