Maut jatuh gaung cari pokok hiasan

Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian di Gunung Gua Sireh, Baling pagi tadi.
Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian di Gunung Gua Sireh, Baling pagi tadi.
A
A
A

BALING - Seorang lelaki maut dipercayai akibat terjatuh ketika sedang mencari pokok paku aji iaitu sejenis pohon hiasan di Gunung Gua Sireh di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Amir Hakimi Md Ali, 22, dari Kampung Padang Che Mas ditemui tidak sedarkan diri di kaki gunung terbabit.

Menurutnya, mangsa dilaporkan ke lokasi kejadian bersama seorang rakan dikenali sebagai Noh Othman, 32, bagi mencari pokok tersebut di sekitar kawasan gunung pada jam 10 pagi.

"Mangsa bagaimanapun dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter dari lokasi beliau berada," katanya di sini hari ini.

Mangsa dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter. - Foto PDRM
Mangsa dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter. - Foto PDRM

Beliau berkata, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Punca kematian bagaimanapun akan dimaklumkan selepas laporan bedah siasat diperolehi," katanya.

Difahamkan, aktiviti mencari pokok paku aji yang dijadikan hiasan landskap telah lama menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Pokok berkenaan mempunyai nilai komersial tinggi serta menjanjikan pendapatan lumayan.