Tiada lagi penggunaan beg plastik seluruh negara: KASA

Bermula hujung tahun ini, tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis seluruh negara.
Bermula hujung tahun ini, tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis seluruh negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada lagi penggunaan beg plastik selepas ia dipersetujui untuk dilaksanakan di semua premis seluruh negara.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya berkata, perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76, semalam.

Caj minimum 20 sen akan dikenakan setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

"Pengenaan caj ini berpandukan prinsip user-pay-principal untuk menghindari penggunaan plastik sekali guna," katanya.

Kementerian itu berkata, kutipan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.

Menurut KASA, pelaksanaan program berbentuk kempen itu akan dilaksanakan dalam dua fasa.

"Fasa pertama bermula Disember 2020 hingga 2021 dan pelaksanaannya tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi.

"Fasa kedua pula iaitu 2022 – 2025 diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kementerian itu, usaha tersebut selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 - 2030 untuk membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lebih mesra alam.

Sehubungan itu, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

"Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg

guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar," katanya.

Pada mesyuarat itu, KASA diwakili oleh Timbalan Menteri, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Setakat ini, Lembah Klang melaksanakan tiada beg plastik manakala Pulau Pinang menetapkan tiada beg plastik setiap Isnin.