Semak undang-undang tangguh pilihan raya: ERC

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.
Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) meminta semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya, sama ada kecil atau umum ditangguhkan ketika krisis yang membahayakan keselamatan negara.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, bagi tujuan itu satu peruntukan khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan dalam situasi berkenaan.

“ERC kekal berpandangan bahawa ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, ERC menyokong sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi yang sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu.

“Keputusan tersebut merupakan satu langkah yang tepat dan jelas sesuai dengan keadaan yang wujud ketika ini, sekali gus boleh membantu mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 di Sabah dan juga di seluruh negara.

"Kita juga perlu memberi keutamaan yang sama bagi menjaga kebajikan rakyat dan pengundi serta mengambil segala tindakan yang perlu agar tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa akibat pandemik,” katanya.

Beliau berkata, ERC yakin gelanggang pilihan raya yang adil akan disediakan apabila PRK membabitkan bahagian tersebut diadakan semula selepas Covid-19 berakhir.

“Mengambil kira lima asas yang dikaitkan dengan keputusan membatal dan menunda PRK Batu Sapi, ERC yakin masa dan ruang yang ada ini akan membolehkan SPR memperkemaskan segala mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan PRK semasa bencana termasuk di bahagian Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah kelak dapat diuruskan dengan efektif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata rakyat Malaysia perlu mengelak situasi yang memerlukan Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan untuk mengenakan keadaan darurat di bahagian lain di negara ini sekiranya pematuhan SOP didapati perlu.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah mengambil tindakan untuk memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat mengatasi segalanya.

"Rakyat pula perlu membalas dengan mematuhi semua SOP, peraturan dan undang-undang tanpa pengecualian. Yang menjadi kebimbangan ialah masih ada yang kurang memberi perhatian terhadap tindakan pencegahan yang dilakukan untuk memeriksa Covid-19,” katanya. - Bernama