Menteri Hal Ehwal Islam perlu dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu

Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam menangani krisis politik negara sudah teruji sejak berdekad lalu.
Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu dalam menangani krisis politik negara sudah teruji sejak berdekad lalu.
Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam menangani krisis politik negara sudah teruji sejak berdekad lalu. Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu dalam menangani krisis politik negara sudah teruji sejak berdekad lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengemukakan usul agar lantikan Menteri Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri dibuat oleh Majlis Raja-raja Melayu dan bukan lagi Perdana Menteri.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usul tersebut dibuat bagi menghentikan kepentingan politik kepartian dalam urusan agama Islam di Malaysia.

Menurutnya, langkah tersebut selari dengan peruntukan Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa urusan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja Melayu.

“Usul ini adalah berdasarkan prinsip urusan agama Islam tidak harus terikat kepada parti politik.

“Justeru kami berpendapat agama Islam perlu diletakkan di atas kepentingan parti politik dan sebarang perbahasan mengenainya tidak terikat dengan kepentingan politik kepartian.

“Oleh kerana bidang kuasa agama Islam berada di bawah kuasa Raja-raja Melayu, maka Menteri Hal Ehwal Agama Islam lebih wajar dipertanggungjawabkan langsung kepada Majlis Raja-raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, langkah berkenaan boleh melindungi kesucian dan martabat Islam daripada dicemarkan oleh pertelingkahan yang sering berlaku dalam ruang politik negara.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi Abdul Hamid berbicara mengenai isu kemanusiaan dan pembantaian Muslim di Rakhine dalam satu sesi perbincangan di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS). - Foto NSTP/ SAIRIEN NAFIS
Mohd Azmi Abdul Hamid berbicara mengenai isu kemanusiaan dan pembantaian Muslim di Rakhine dalam satu sesi perbincangan di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS). - Foto NSTP/ SAIRIEN NAFIS

“Kami mengambil perkiraan bahawa sememangnya politik dan Islam tidak boleh dipisahkan, akan tetapi politik kepartian telah banyak merosakkan integriti Islam akibat daripada ahli politik sering mengutamakan parti dari Islam yang sepatutnya dipertahankan.

“Lebih buruk ialah apabila ahli parti politik menggunakan Islam untuk mempertahankan partinya dan kedudukannya," katanya.

Justeru, beliau berkata, kesucian agama Islam perlulah dipelihara bersesuaian dengan konteks negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Sehubungan itu, katanya, mekanisme dan fungsi Menteri yang dipilih untuk menguruskan hal ehwal Islam perlulah berdasarkan peruntukan yang tersedia di bawah Perlembagaan.

“Menteri Hal Ehwal Islam harus bertanggungjawab kepada Majlis Raja-raja Melayu supaya sebarang dasar dan keputusan tidak terikat kepada parti politik.

“Selain itu, mereka yang mahu mengutarakan sebarang pandangan berkaitan dengan Islam hendaklah dibentangkan kepada sebuah forum khas yang diurus oleh Menteri dan dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja,” katanya.