Azan persoal pelantikan MTNg Kelantan

Azan Ismail
Azan Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail bukan sahaja mempersoalkan strategi pengumuman Majlis Tindakan Negeri (MTNg) malah berasa hairan ia tidak dibuat serentak di empat negeri bukan naungan PH.

Menurutnya, sehingga kini tiada pengumuman rasmi pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Bukan isu perjawatan dan individu yang dipersoalkan, tetapi agak menghairankan kenapa pengumuman itu tidak buat selaras. Apakah kedudukan Kelantan berbanding dengan tiga negeri lain? Banyak persoalan timbul. Kenapa? Apakah strateginya diumumkan tidak selaras dan tidak bersama?

“Saya pun tidak tahu keputusan itu dibuat berasaskan apa. Keputusan untuk menamakan seorang pengerusi itu berasaskan formula apa pun, saya tidak tahu. Cuma saya harap pelantikan itu seharusnya mendapat reaksi dan sokongan daripada rakyat negeri itu sendiri, itu yang mustahak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat berkata demikian pada sidang media pengumuman secara rasmi Jawatankuasa PKR Terengganu sesi 2018/2021 di Pejabat PKR Terengganu di sini, hari ini.

Azan berkata, pengumuman pelantikan MTNg di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang perlu dibuat secara serentak oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dibuat secara terbuka kerana jawatan itu adalah jawatan yang penting.

“Ia bagi memastikan rakyat dapat melihat fokus dan kesediaan PH di peringkat pusat bersungguh-sungguh merangka strategi untuk mengambil alih kedudukan di empat negeri ini sekali gus untuk membantu rakyat dan negeri.

“Ia lebih tersusun dan kemas dalam mentadbir dan menyelaras pembangunan di keempat-empat negeri ini. Pengumuman yang dibuat iaitu satu negeri kemudian tiga negeri ditangguhkan, tidak memperlihatkan satu perancangan jelas terhadap kedudukan empat negeri yang tidak di bawah PH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam konteks Terengganu, pihaknya masih menunggu keputusan berkenaan pengerusi MTNg di Terengganu.

“Bagaimanapun dalam situasi di Kelantan, keputusan itu seharusnya diserahkan kepada rakyat Kelantan kerana jawatan sebagai pengerusi MTNg bukan mewakili parti semata-mata tapi ia mewakili kerajaan pusat untuk manfaat rakyat negeri itu.

“Saya rasa amat perlu reaksi daripada rakyat negeri Kelantan diambil, selain reaksi daripada kepimpinan parti-parti. Yang mustahak kita perlu lihat, pelantikan itu membantu menyelaras pembangunan negeri kepada rakyat negeri berkenaan,” katanya.