Pegawai Imigresen terlibat salah guna kuasa tidak akan terlepas

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangannya yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan akan diambil di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi.

"Mereka yang terlibat hendaklah bersedia menghadapi tindakan undang-undang yang akhirnya akan dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penangkapan sembilan anggotanya yang terlibat dalam aktiviti pemalsuan cop keselamatan imigresen semalam.

"Jabatan ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional," katanya

Menurut beliau, penahanan suspek adalah hasil kerjasama antara JIM dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperolehi daripada aduan orang ramai.

"Penahanan pegawai-pegawai ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan operasi Imigresen dalam melaksanakan tugas-tugas harian dan penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

Sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara 13 yang dikenakan tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini atas kesalahan terlibat dalam aktiviti pemalsuan cap sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, seramai 13 tertuduh terbabit merupakan antara 43 individu yang ditahan SPRM di Johor dan Selangor semalam.

Tangkapan berkenaan dibuat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, manakala 30 suspek lain ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kegiatan dilakukan suspek dipercayai melibatkan pasport warga asing yang dicop di sempadan negara walaupun pemilik dokumen tidak keluar dari negara secara fizikal.

Difahamkan, pegawai terlibat terlibat menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 bagi setiap pasport warga asing yang diuruskan mereka sejak 2017.

Kesemua tertuduh disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.