Peranan siapa jaga sungai kita?

No Image Caption
A
A
A

TRAGEDI Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor dan isu terputus bekalan air di Selangor satu isyarat jelas terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar terutama sungai dan punca sumber air di negara ini.

Kemusnahan dan pencemaran yang berlaku terhadap khazanah alam itu akan memberi impak cukup besar kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Dalam isu ini, tiada pilihan antara kepentingan sungai dan pembangunan ekonomi kerana kedua-duanya penting dan perlu seiring.

Malangnya, dalam kebanyakan kes yang berlaku, kerancakan industri dan pembangunan jelas antara punca kemusnahan dan pencemaran sungai dan sumber air di negara ini.

Disebabkan ada pihak yang memandang remeh terhadap kepentingan sungai ini, undang-undang yang ditetapkan ditolak ke tepi demi keuntungan dan akhirnya mengundang tragedi sehingga penduduk terpaksa menanggung akibatnya.

Persoalannya, siapakah yang sebenarnya berperanan menjaga sungai kita ini?

Bagi penulis tanggungjawab itu sebenarnya perlu dipikul pihak yang berkemungkinan besar boleh menjadi punca kepada isu pencemaran alam sekitar.

Mungkin pihak industri, pemaju, kontraktor, pemegang konsesi balak, perlombongan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, mereka inilah yang sebenarnya patut dilibatkan sama dalam program atau kempen kesedaran berhubung kepentingan menjaga sungai kita. Bukan lagi pelajar sekolah.

Tidak adil untuk kerajaan memikul beban atas isu jenayah alam sekitar ini sepenuhnya. Bayangkan berapa kos yang perlu ditanggung untuk menyelesaikan masalah ini dan pada masa sama kerajaan juga yang terpaksa menjadi punching bag berdepan kemarahan rakyat.

Dalam konteks negeri Pahang, contohnya Sungai Ichat yang menjadi satu daripada sumber air bagi Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla, Cameron Highlands pernah tercemar teruk akibat aktiviti peneroka kebun haram.

Isu ini menjadi perhatian sehingga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana Seri Paduka sendiri berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla tahun lalu dan menitahkan agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air tersebut.

Ketegasan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan tindakan dalam isu pencemaran Sungai Ichat membuahkan hasil apabila kualiti air sungai tersebut berjaya dipulihkan dan selamat digunakan dari tahap empat ke tahap satu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini memaklumkan lebih 500 hektar tanah diceroboh di Cameron Highlands dan lebih 100 hektar tanah yang diceroboh itu melibatkan kawasan Sungai Ichat.

Kaji

Apa yang berlaku di kawasan Sungai Ichat itu antara contoh bagaimana pencemaran sesuatu sungai itu perlu dibayar dengan harga cukup tinggi untuk dipulihkan.

Ia bukan satu kerja mudah, memakan masa yang lama namun untungnya ia masih mampu untuk dipulihkan.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semua kewajaran kawasan berhampiran sungai terutama sungai yang membekalkan sumber air ke LRA untuk air terawat dijadikan tapak industri dan sebagainya.

Bagi industri sedia ada, jaminan kepada pematuhan peraturan ditetapkan perlu ditekankan melalui pemantauan lebih kerap dan penguatkuasaan lebih ketat.

Sewajarnya juga industri berisiko yang beroperasi berhampiran sungai diwajibkan mengguna pakai teknologi dalam pengurusan sisa air buangan sebagai syarat lesen.

Bagi penulis, tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan sungai sudah cukup tinggi. Mereka selalu tampil membuat aduan dan bantahan setiap kali berlaku pencemaran sungai.

Atas keprihatinan mereka inilah banyak kes-kes penerokaan hutan secara haram dan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak pelesen berjaya dikesan dan diambil tindakan.

* Nik Amirulmumin Nik Min ialah Ketua Biro Sinar Harian Pahang