Jual iPhone 8 curi RM250

Barangan dan hasil samun yang dirampas daripada suspek di rumahnya di Jalan 4/46, Petaling Jaya.
Barangan dan hasil samun yang dirampas daripada suspek di rumahnya di Jalan 4/46, Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki sempat menjual telefon iPhone 8 yang disamunnya dengan harga RM250 sebelum dia ditangkap oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan bersama teman wanita di sebuah rumah di Jalan 4/46, Petaling Jaya.

“Tindakan diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pengurus bank wanita berusia 37 tahun yang disamun di tempat letak kereta di Jalan 1/12, Old Town Petaling Jaya pada 12 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ku Mashariman berkata, polis turut merampas motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu bersama beberapa barangan hasil samun.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek turut dikehendaki berkaitan kes dadah dan mengaku turut terlibat dalam beberapa siri kes samun sebelum ini.

"Polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun yang merupakan pembeli telefon bimbit curi di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur.

"Difahamkan ketiga-tiga suspek masing-masing direman lima dan tiga hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 14 tahun, denda atau sebat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan suspek untuk melakukan samun terhadap seorang pengurus bank wanita di Old Petaling Jaya 12 November lalu.
Motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan suspek untuk melakukan samun terhadap seorang pengurus bank wanita di Old Petaling Jaya 12 November lalu.

Sementara itu, seorang lelaki terpaksa bermalam di dalam lokap kerana mengeluarkan kata-kata kesat berbaur hinaan kepada anggota polis yang melakukan pemeriksaan di Seksyen 21/36 di sini semalam.

Ku Mashariman berkata, dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, anggota cawangan kereta peronda polis (MPV) Aberdeen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi.

"Anggota bertugas menahan sepasang suami isteri menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 di lokasi terbabit dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berusia 27 tahun berkenaan enggan mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan kepada anggota polis. Suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan.

"Malah semakan terhadap cukai jalan motosikal suspek juga didapati sudah tamat tempoh," katanya.

Katanya, suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.