Risiko besar jika belanjawan gagal diluluskan

Semua ahli Parlimen dibenarkan masuk ke Dewan Rakyat bagi mendengar pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini.
Semua ahli Parlimen dibenarkan masuk ke Dewan Rakyat bagi mendengar pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar mengakui Dewan Rakyat sememangnya perlu meluluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan kerajaan menggunakan wang perbendaharaan negara untuk melunaskan pelbagai komitmen termasuk bayaran gaji penjawat awam dan frontliners.

Katanya, peruntukan gaji penjawat awam dan semua kementerian serta agensi kerajaan sememangnya terdapat dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) yang perlu diluluskan setiap tahun.

Bagaimanapun, kata Khairil Azmin, sekiranya tidak diluluskan Dewan Rakyat, kerajaan perlu meminda bajet tersebut, namun dibimbangi akan mengambil masa.

Dr Khairil Azmin
Dr Khairil Azmin

"Sekiranya tidak diluluskan maka ia perlu dibuat semula, sehinggalah semua pihak berpuas hati dan setuju untuk meluluskannya.

"Namun ia akan memakan masa dan ketiadaan belanjawan bermakna satu masalah besar kepada kos operasi bagi kerajaan mentadbir negara," ujar Khairil Azmin kepada Sinar Harian semalam.

Tambah Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, kerajaan perlu mendapat sokongan Belanjawan 2021 untuk menggunakan wang negara daripada Kumpulan Wang Disatukan sebagaimana yang diperuntukan dalam Perkara 100 Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, masih terdapat ruang untuk pembangkang membuat saranan bagi pindaan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan. Persefahaman itu berhubung semua aspek Belanjawan 2021 termasuk jumlah perbelanjaan adalah solusi terbaik untuk rakyat dan negara.

Artikel Berkaitan:

"Adalah lebih baik sekiranya semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang dapat mencapai persetujuan segera dengan bertolak ansur ketika perbahasan di Dewan Rakyat," tegas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berbaur ugutan apabila membayangkan kerajaan tidak akan dapat membayar gaji penjawat awam sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

"Apa yang saya faham daripada kenyataan tersebut, Anwar mahu kerajaan bersetuju untuk membuat pindaan dan perubahan pada belanjawan asal selepas mengadakan perbincangan dan menimbang permintaan oleh ahli Parlimen dan pihak pembangkang," katanya.

Menurutnya, ketika belanjawan dibahaskan di peringkat dasar, segala pandangan dan cadangan oleh pihak pembangkang, malah Ahli Parlimen yang tidak terlibat dalam penyediaan belanjawan boleh diketengahkan untuk diambil kira oleh Menteri dan kerajaan.

"Selepas itu di peringkat jawatankuasa, RUU tersebut akan diteliti oleh Ahli Jawatan Kuasa yang akan meneliti setiap fasa, jadual dan panduan secara terperinci, serta membuat pindaan yang sesuai," katanya sambil menambah setiap RUU Perbekalan atau belanjawan perlu diluluskan berdasarkan perjalanan kuasa perundangan yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.