X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Liga-M 'rugi besar'

EFFENDI JAGAN
A
A

PENGUMUMAN pembatalan saingan TM Piala Malaysia 2020 yang dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Khamis lalu dianggap satu kerugian besar bagi industri bola sepak negara ini sehingga memberi kesan kepada semua pihak terlibat.

Pengarah Urusan Action Football Asia Malaysia Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, pengumuman itu amat mengejutkan tatkala aksi Piala Malaysia musim ini sudah memasuki peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, Effendi Jagan berkata, MFL telah membuat keputusan yang tepat memandangkan kontrak kebanyakan pemain bersama pasukan masing-masing akan tamat pada penghujung bulan ini.

“Pada asalnya memang kerajaan hanya menangguhkan Piala Malaysia, tetapi MFL mengambil keputusan untuk membatalkannya terus kerana ia bersangkutan dengan beberapa masalah seperti kontrak pemain.

“Mungkin kerajaan tidak begitu memahami mengenai kontrak pemain. Tetapi ia memang satu kerugian besar kerana hanya tinggal tujuh perlawanan lagi sebelum Piala Malaysia musim ini berakhir.

“Walaupun saya agak sedih dan terkejut dengan pembatalan Piala Malaysia tetapi semua pemegang taruh (Liga-M) kena patuh kerana dalam soal kesihatan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih arif,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan industri bola sepak di negara ini akan terus berdepan detik sukar sekiranya pandemik Covid-19 belum berakhir.

Malah, Sathianathan memberi gambaran saingan Liga-M musim depan juga diselubungi tanda tanya susulan tindakan kerajaan menolak rayuan dikemukakan MFL untuk menyambung semula aksi Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Effendi Jagan berharap kes pesakit Covid-19 di negara ini akan menurun bagi membolehkan saingan Liga-M kembali berlangsung tahun depan seperti sediakala.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan persiapan kebanyakan pasukan yang bakal bersaing dalam aksi Liga-M nanti akan terjejas di sebalik ketidaktentuan ancaman Covid-19.

“Pandemik Covid-19 ini memang memberikan kesan kepada kita semua tidak kira pemain, pegawai atau pasukan itu sendiri. Bagi seorang ejen seperti saya pula, sudah tidak ada lagi jendela perpindahan (pemain) kedua.

“Bagi aksi Liga-M musim depan, tidak ada siapa pun yang boleh membuat ramalan sama ada kes-kes Covid-19 ini akan meningkat atau menurun. Apa pun bagi saya, kerajaan telah buat yang terbaik untuk rakyat dalam membendung penularan Covid-19,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!