X

Kindly register in order to view this article
!

KDA FC mahu ikat Baddrol Bakhtiar

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC sebolehnya mahu mengikat kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar untuk terus bersama pada musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mahu pemain cemerlang seperti Baddrol kekal menabur jasa di negeri kelahirannya, namun tidak menghalang sekiranya ada pemain berhasrat mahu berhijrah.

“Berkaitan ura-ura Baddrol bakal berhijrah ke pasukan lain, saya tidak dimaklumkan dan tiada maklumat berkaitan.

"Setakat ini, 10 pemain masih mempunyai kontrak dengan Kedah bermakna mereka masih kekal dengan KDA FC, pemain yang tamat kontrak terpulang kepada mereka untuk buat pilihan,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pemilihan dan penyusunan pemain akan dilakukan KDA FC bukan lagi sepenuhnya bawah KFA selepas penswastaan.

“Ada pemain yang tamat kontrak seperti Shakir Hamzah, mungkin dia ada pilihan lain. Kita tidak akan sekat kalau mahu berhijrah. Ia akan diputuskan oleh pemegang saham terbesar KDA FC, yang memiliki 80 peratus pemilikan,” katanya.

Sebelum ini, empat pasukan Liga Malaysia (Liga M) dikatakan cuba mengintai Baddrol untuk musim depan.

Difahamkan, Baddrol, 32, masih menunggu tawaran Kedah sama ada mahu menggunakan khidmatnya atau tidak sebelum membuat keputusan.

Sepanjang bersama Kedah sejak 2005, Baddrol membantu pasukan meraih dua trofi Liga Super dan Liga Perdana, empat Piala Malaysia, tiga Piala FA serta satu Piala Sumbangsih.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi memaklumkan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) sedang mempertimbangkan semula hasrat membuka pegangan saham KDA FC.

“MBI masih miliki kuota 80 peratus, belum muktamadkan pemilihan syarikat untuk berkongsi pemilikan saham itu. Memang benar sebelum ini sebuah syarikat tempatan dalam rundingan akhir memiliki 80 peratus saham KDA FC daripada MBI Kedah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih membuat pertimbangan dari pelbagai aspek dan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ramai beri nasihat supaya untuk tahun pertama FC, kita perlu lebih teliti dan seeloknya GLC urus pasukan elak perkara di luar jangka berlaku. Prestasi Kedah pun bagus, mungkin ada baiknya kita urus sendiri buat masa ini,” katanya.

Katanya, mesyuarat bersama KFA dan MBI akan diadakan dalam minggu ini bagi menetapkan keputusan terbabit.

“Nyaris-nyaris jadi (rundingan), macam nyaris-nyaris gol tapi bola tak masuk gol,” katanya disambut gelak ketawa media yang hadir.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!