Polis siasat insiden kanak-kanak maut tertusuk pisau

A
A
A

LUMUT - Polis sedang menyiasat sama ada kejadian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut akibat tertusuk pisau di Taman Cempaka, Kampung Koh, Sitiawan di sini kelmarin berlaku disebabkan ‘foul play’ atau kecuaian.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, mangsa dikenali sebagai J Adithiyan disahkan maut selepas mengalami kecederaan di dada.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan luka tikaman di dada.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan sebaik saja menerima makluman daripada pihak Hospital Seri Manjung pada jam 11.15 malam.

“Menurut keterangan keluarga mangsa, semasa persiapan sambutan Deepavali bersama keluarga, mangsa dikatakan sedang berlari dari luar rumah untuk masuk ke dalam rumah.

“Tiba-tiba mangsa telah bertembung dengan sepupunya perempuan berumur 11 tahun yang ketika itu sedang memegang pisau kecil untuk digunakan memotong tali langsir tetapi pisau tersebut tertusuk di dada sebelah kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, mangsa dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia dan mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan persiapan menyambut perayaan Deepavali sebuah keluarga bertukar tragedi apabila mangsa maut akibat tertusuk pisau di dada.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut tertusuk pisau di dada