20 penduduk Medan 88 lari PKPD serah diri

Laporan Sinar Harian pada 12 November lalu.
Laporan Sinar Harian pada 12 November lalu.
A
A
A

SEPANG - Seramai 20 penduduk yang disyaki melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di sini sudah menyerah diri.

Daripada jumlah itu, seramai 13 individu terbabit dikesan kelmarin, manakala enam lagi semalam dan seorang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penghuni berkenaan terdiri daripada warga Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal serta beberapa penduduk tempatan.

"Usaha mengesan penghuni lain yang masih hilang masih dijalankan.

"Kita amat mengharapkan kerjasama dan bantuan orang awam, sekiranya ada maklumat boleh salurkan kepada kami," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, individu yang tampil sebelum ini sudah menjalani saringan koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, media melaporkan seramai 400 penduduk di situ tidak kembali ke rumah selepas polis mengepung kawasan premis perniagaan terbabit.

PKPD di kawasan berkenaan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula semalam sehingga 25 November ini membabitkan seramai 800 penduduk meliputi 88 unit rumah kedai dan 284 premis perniagaan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM kesan 400 penduduk Medan 88 tidak pulang kediaman

PKPD: 400 penduduk Medan 88, Salak Tinggi gagal dikesan

13 penduduk larikan diri dari kawasan PKPD berjaya dikesan