[VIDEO] Ambulans ini sumbangan rakyat Malaysia: Uncle Kentang

Chee Heng (kiri) dan Leona Chin (tengah) ketika Majlis Pelancaran Ambulans Rakyat Pertama di Puchong Utama, Puchong.
Chee Heng (kiri) dan Leona Chin (tengah) ketika Majlis Pelancaran Ambulans Rakyat Pertama di Puchong Utama, Puchong.
A
A
A

PUCHONG - “Ambulans ini hasil sumbangan anda semua, rakyat Malaysia," kata aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang ketika Majlis Pelancaran Ambulans Rakyat Pertama di Puchong Utama di sini semalam.

Menurut Chee Heng, dana sebanyak RM150,000 berjaya dikutip daripada pengikut Facebook beliau hanya dalam tempoh dua hari selepas hasrat itu dimaklumkan di media sosial.

"Saya tidak tahu siapa yang derma namun kita berjaya membelinya untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Ini adalah ambulans kelapan yang dimiliki Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia tetapi yang pertama dibeli menggunakan dana sumbangan daripada orang ramai," katanya pada majlis pelancaran yang turut dihadiri drifter terkenal negara, Leona Chin.

Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia berkata, ketika ini terdapat 13 hospital besar di sekitar Lembah Klang yang menyebabkan banyak ambulans diperlukan untuk kegunaan orang ramai.

Menurutnya, beliau tabik dengan semangat rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan untuk membeli kemudahan pengangkutan.

Katanya, semangat rakyat itu perlu dicontohi oleh pemimpin di negara ini.

“Inilah kesinambungan semangat anak-anak Malaysia dan realiti kehidupan sebenar di negara ini. Kalau kita perlu sesuatu dan minta dengan baik, ramai akan bantu.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya kita memerlukan beberapa buah lagi ambulans untuk digunakan bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital atau ketika situasi kecemasan,” katanya.

Terdahulu, Chee Heng berkata, beliau berusaha mengutip dana untuk pembelian ambulans tersebut selepas mendapati ramai rakyat susah yang terlantar sakit tidak mendapatkan rawatan susulan di hospital kerana tidak mampu membayar kos sewa ambulans.



Katanya, akibat daripada itu, sakit ditanggung melarat dan akhirnya ada yang terpaksa dipotong kaki dan sebagainya.

“Kepada semua yang ada di luar sana, kalau ada mak dan ayah terlantar di rumah dan perlukan ambulans di kawasan Lembah Klang, kita akan bantu. Saya mohon maaf untuk mereka yang tinggal jauh, kita tak boleh ambil tetapi kita boleh hantar mereka dari sini ke negeri lain.

“Kita juga akan penuhi permintaan akhir pesakit yang tiada peluang sembuh untuk membawa mereka pulang ke kampung halaman sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Alangkah sedihnya jika kita tidak dapat menunaikan hasrat terakhir mereka untuk meninggal dunia di rumah kerana poket kosong,” katanya.