Anwar tidak berupaya tangani krisis kewangan negara: Tun M

Anwar dan Dr Mahathir
Anwar dan Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkeupayaan untuk menangani krisis kewangan negara ketika beliau memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan pada tahun 1997 hingga 1998.

Kata Dr Mahathir, kebolehan Anwar menerajui negara telah diuji pada ketika itu apabila dilantik memangku jawatan perdana menteri bagi menggantikan beliau yang bercuti selama dua bulan.

Menurutnya, pendekatan yang ingin diambil Anwar dalam menangani krisis berkenaan tidak akan memulihkan kewangan negara.

"Dia suka menurut apa yang dicadangkan dan disarankan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Saya pernah berkata kepadanya, kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak ada dana yang cukup untuk membayar gaji tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.

"Sebab itu saya terpaksa mengambil alih jawatan Menteri Kewangan dan merancang pendekatan untuk memulihkan semula negara," katanya dalam video wawancara bersama The Malaysia Insight yang dimuat naik di saluran YouTube hari ini.

Dalam wawancara itu Dr Mahathir turut berkata, beliau tidak tahu bagaimana penilaian yang mungkin dibuat oleh rakyat terhadap Anwar bagi menerajui negara.

Namun menurutnya, secara jelas dalam krisis kewangan 1997 hingga 1998, Anwar tidak berkeupayaan.

Artikel Berkaitan:

"Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada beliau mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, tindakan Anwar yang berulang kali mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri menyebabkan rakyat khuatir sama ada Ahli Parlimen Port Dickson itu menerima atau tidak kebenaran sebenar.