X

Kindly register in order to view this article
!

Maut ketika mahu tuntut hutang

Peniaga buah maut ditikam rakan di sebuah bengkel di Sitiawan hari ini. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Nor Omar)
A
A

LUMUT - Hanya kerana mahu menuntut hutang, seorang peniaga buah maut ditikam rakannya dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di perut dan leher.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 51 tahun datang ke balai dalam keadaan berlumuran darah bersama pisau yang digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa datang ke bengkel suspek kerana mahu menuntut hutangnya sebelum berlaku pertengkaran.

“Mangsa dikatakan telah memukul suspek dan kemudian mencari pisau dalam bengkel sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek juga mendakwa dia merampas senjata daripada mangsa sebelum menikam mangsa di leher dan perut," katanya.

Nor Omar berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Ketika kejadian, adik lelaki suspek berusia 40-an yang bekerja di bengkel itu dan anak lelaki mangsa berusia 15 tahun berada di lokasi kejadian.

"Setakat ini, tiga saksi sudah diambil keterangan. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, suspek bersama adiknya itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!