X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Laporan 30,000 PKS gulung tikar tidak tepat

WAN JUNAIDI
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjelaskan laporan media mengenai lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 adalah tidak tepat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah keseluruhan syarikat dan perniagaan yang menutup operasi bermula pada 18 Mac sehingga 9 Jun 2020 adalah sebanyak 9,675 syarikat.

Tambah beliau, bagi tempoh 10 Jun sehingga September 2020 pula, sebanyak 22,794 syarikat juga telah menutup operasi.

"Kenyataan ini menunjukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September, ia bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS yang menutup operasi tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Walau bagaimanapun, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak SSM, bermula pada 1 April sehingga 19 Julai 2020, sebanyak 82,555 perniagaan baharu telah didaftarkan.

"Ini menunjukkan bahawa dalam situasi semasa Covid-19, ia tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan tetapi perlulah mengikut kehendak semasa iaitu dengan menggunakan platform e-dagang sebagai salah satu medium pemasaran produk atau perkhidmatan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 11 November lalu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan lebih 30,000 syarikat PKS menutup operasi mereka sejak pelaksanaan PKP akibat Covid-19 yang bermula pada Mac lalu.

Wan Junaidi berkata, MEDAC sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyarankan agar para usahawan juga perlu sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi situasi semasa penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, antara langkah-langkah yang dilakukan ialah usahawan perlu bersiap sedia untuk kemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan yang disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan bagi mendapatkan 'the new way of doing business'.

"Adaptasi perniagaan dengan normal baharu kehidupan, perkasakan perniagaan melalui digitalisasi dan perhebatkan strategi promosi," katanya.

Selain itu, PKS disarankan untuk mengekalkan data maklumat pelanggan, mengekalkan perhubungan dengan pelanggan, mengekalkan jenama produk mereka supaya pelanggan tidak melupakan produk mereka selepas tempoh PKP," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!