X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

KKM bimbang pergerakan 6 juta rakyat Lembah Klang, NS tidak dikawal

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyuarakan kebimbangan pergerakan keluar masuk enam juta rakyat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan akan menyumbang kepada peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di negeri-negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hampir semua daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, kini zon merah Covid-19 dan agak sukar untuk mengawal pergerakan penduduk yang tinggi dan padat di negeri terlibat.

Justeru, katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang diharapkan dapat mengurangkan pergerakan rentas negeri khususnya di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, seterusnya memutuskan rantaian penularan baharu wabak itu.

“Pergerakan (orang awam) dari zon-zon merah di Lembah Klang agak sukar dikawal berbanding zon merah di Sabah ke Semenanjung misalnya kerana kita boleh saring dan kenal pasti mereka bila keluar dari Sabah.

“Kita (KKM) bimbang jika orang dari Lembah Klang atau Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak itu dan merentas negeri ke zon hijau, ia akan bawa jangkitan. Oleh itu, walaupun tak dapat bataskan 100 peratus pergerakan keluar masuk tapi PKPB dapat kurangkan pergerakan itu,” katanya.

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM hari ini, Dr Noor Hisham berkata, kebimbangan itu timbul apabila data keseluruhan kes baharu di Lembah Klang dan Negeri Sembilan kini mengatasi jumlah kes di Sabah.

Katanya, jumlah keseluruhan kes baharu di Lembah Klang dan Negeri Sembilan hari ini sebanyak 464 kes berbanding 319 kes di Sabah.

Beliau berkata, perkembangan penularan kes di Sabah ketika ini dilihat mulai stabil berbanding minggu lepas.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan wabak selesema burung H5N8 yang menular di Korea Selatan dan Eropah Barat, Dr Noor Hisham berkata, KKM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau perkembangan virus itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika ini tiada laporan wabak bawaan unggas itu menjangkiti manusia dan setakat ini wabak itu tidak dikesan di Malaysia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!