X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas pembantu penguat kuasa SPAD didakwa rasuah

A
A

SHAH ALAM- Seorang bekas pembantu penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,940 empat tahun lepas.

Mohd Faiz Ahdon, 36, dilihat menangis ketika kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Dia berdepan enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,640 daripada seorang pemandu teksi sapu Chong Chung Kwee, 57, sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat operasi SPAD serta tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu dan lima rakannya iaitu Tay Kin Tong, 70, Chua Kooi Chean, 58, serta Lim Chiam Hee, Yap Chee Hong dan Soo Mun Kit masing-masing berusia 56 tahun.

Mohd Faiz didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Bandar Puteri, Puchong antara 11 Januari dan 8 Februari 2016.

Dia turut berdepan lima pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,300 daripada individu sama dengan tujuan sama di sebuah bank di Hulu Langat antara 16 Februari dan 15 Mac 2016.

Selain itu, Mohd Faiz didakwa atas dua lagi pertuduhan meminta rasuah bersama dua pembantu penguat kuasa SPAD yang juga rakannya iaitu Syed Ammar Syamim Syed Agail, 34, serta Mohd Shahril Sapiain, 39, dan ketika-tiga tertuduh minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan wang tunai RM720 daripada Chung Kwee sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat operasi SPAD serta tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu dan lima rakannya manakala pertuduhan kedua menyebut mereka menerima rasuah daripada Chong bagi tujuan tersebut.

Mohd Faiz, Syed Amar Syamim dan Mohd Shahril didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran nasi kandar di Shaftsbury Square, Cyberjaya antara 1.30 pagi dan 2.30 pagi dalam bulan Februari 2016.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Rozilah membenarkan Mohd Faiz dibebaskan dengan jaminan RM4,000 bagi kesemua pertuduhan manakala Syed Amar Syamim dan Mohd Shahril pula diikat jamin sebanyak RM2,000 serta mengenakan syarat tambahan agar pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab dan hanya Mohd Faiz diwakili peguam iaitu Ridha Abdah Subri.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember depan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!