Pengusaha bas persiaran makin 'tenat'

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara (GPBPZU), Ahmad Ruslan Abd (tengah) bersama ahli persatuan membuat laporan polis di IPD Kota Setar di sini semalam.
Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara (GPBPZU), Ahmad Ruslan Abd (tengah) bersama ahli persatuan membuat laporan polis di IPD Kota Setar di sini semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kebanyakan pengusaha bas persiaran di zon utara mendakwa kehidupan mereka semakin 'tenat' diibaratkan hidup segan mati tidak mahu akibat terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara (GPBPZU), Ahmad Ruslan Abd berkata, pandemik Covid-19 banyak syarikat bas persiaran terkesan kerana tiada pendapatan tetapi terpaksa membayar kos penyelenggaraan, insurans, cukai jalan, pinjaman daripada syarikat kredit dan gaji pekerja.

"Wang simpanan juga semakin berkurangan dan kami dalam industri bas persiaran sudah tidak mampu bertahan sejak Mac lalu.

"Sekarang, kami pengusaha bas persiaran umpama hidup segan mati tidak mahu dengan cabaran ini dan memohon keprihatinan kerajaan untuk memberi pandangan serius terhadap masalah ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, dekat sini, semalam.

Terdahulu, ahli GPBPZU mewakili pemilik bas pelancongan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis membuat laporan polis menuntut masalah dialami industri bas diberi perhatian serius.

Ahmad Ruslan berkata, sehubungan itu, mereka memohon keprihatinan kerajaan untuk mengambil alih pinjaman pengusaha bas persiaran dari syarikat kredit demi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Kami bukan ingin lari daripada membuat bayaran syarikat kredit tetapi hanya meminta sedikit masa untuk menyelesaikan masalah. Kami akan membayar apabila pandemik Covid-19 selesai malah kami akui pihak kredit banyak membantu selama ini," katanya.

Pengusaha Bas Liesuria Holidays, Muhammad Fadli Saad berkata,lebih 100 pengusaha bas persiaran di Zon Utara memohon kerajaan dapat mengambil alih pinjaman dari syarikat kredit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka kini dalam keadaan tertekan kerana bas persiaran tidak dapat meneruskan perkhidmatan.

Muhammad Fadli berkata, mereka memohon bantuan susulan tiada kerjasama pemberian moratorium pinjaman daripada syarikat kredit dan dasar polisi insurans juga didapati tidak melindungi pengusaha bas ketika pandemik Covid-19.

"Kami juga mendapati dana Belanjawan 2021 dibentangkan tidak langsung membantu pemilik bas dan syarikat pelancongan yang terkesan buruk ketika ini," katanya.

Pengusaha bas Persona Holiday, Noor Izham Mohd Noor berkata, lebih 90 peratus pendapatan mereka terjejas sepanjang tahun ini apabila perkhidmatan bas persiaran diusahakan mereka tidak berjalan.

"Kami sudah kurang menerima pelanggan sejak awal tahun ini disebabkan pelancong dari negara jiran seperti Thailand tidak dibenarkan masuk.

"Keadaan semakin buruk kerana kami tidak memperoleh langsung pendapatan pada Oktober dan November namun terbeban dengan segala bayaran antaranya pinjaman dari syarikat kredit yang perlu dijelaskan," katanya.