X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan luluskan RM12.2 bilion subsidi upah

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM12.16 bilion subsidi upah di bawah Program Subsidi Upah (PSU) telah diluluskan sehingga 30 Oktober 2020 yang memanfaatkan lebih 322,284 majikan serta lebih 2.639 juta pekerja.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah ini merupakan peningkatan daripada RM11.998 bilion yang diluluskan pada 16 Oktober.

"Fasa seterusnya adalah PSU 2.0 yang telah bermula sejak 1 Oktober 2020. Sebagai peringatan, majikan masih boleh memohon untuk PSU 2.0 di bawah Pakej Kita Prihatin yang dibuka sehingga 31 Disember 2020.

"Saya juga ingin menekankan bahawa dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan RM1.5 bilion untuk melanjutkan PSU selama tiga bulan lagi bagi membantu 70,000 majikan dan 900,000 pekerja terutamanya sektor pelancongan dan peruncitan,” kata menteri itu.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Laporan Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-28 menerusi akaun Facebook hari ini.

Selain membantu pekerja, PSU juga mengutamakan kemampuan usahawan untuk mengekalkan kapasiti perniagaan.

Beliau menggesa majikan yang terkesan agar mendapatkan bantuan kerajaan supaya mereka boleh mengekalkan kapasiti operasi dan memastikan syarikat kekal berdaya saing, lebih-lebih lagi tatkala persekitaran perniagaan bertambah baik nanti.

Mengenai program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, beliau berkata, sehingga 30 Oktober, seramai 106,047 individu telah diluluskan (peningkatan daripada 105,312 minggu lalu) untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan.

Antara kursus yang mendapat permintaan tinggi adalah seperti program IR4.0, latihan keusahawanan, pendigitalan perdagangan, serta program Boot Camp kemahiran mencari pekerjaan.

"Untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang dijangka dapat meringankan beban 7.5 juta penerima B40 serta 3.1 juta penerima M40, setakat 3 November 2020, sejumlah RM4.5 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima. Ini merangkumi tujuh juta penerima daripada kategori B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40.

"Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November 2020. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada bulan Januari 2021," kata beliau.

Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) telah ditutup pada 31 Oktober dan saringan kelayakan sedang dibuat.

PKS Mikro yang layak bakal menerima bantuan one-off berjumlah RM3,000 dan bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!