Kanak-kanak ditemukan lemas main dalam tali air

Keseronokan lapan kanak-kanak bermain di parit tali air bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang. Gambar hiasan.
Keseronokan lapan kanak-kanak bermain di parit tali air bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang. Gambar hiasan.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Keseronokan lapan kanak-kanak bermain di parit tali air bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini semalam.

Mangsa Nur Farah Dania Abd Rahman, 12, disahkan meninggal dunia selepas ditemukan penduduk kampung pada jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian itu disedari seorang lelaki yang kebetulan memancing di kawasan berhampiran.

Menurutnya, semasa kejadian, lelaki terbabit melihat dua kanak-kanak hampir lemas dan bertindak terjun ke dalam tali air untuk menyelamatkan mereka.

"Bagaimanapun, hanya seorang daripada kanak-kanak itu yang dapat diselamatkan, manakala seorang lagi gagal ditemui.

"Lelaki itu kemudiannya memanggil orang kampung datang untuk membantu mencari seorang lagi mangsa," katanya.

Katanya, mangsa yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang untuk tindakan lanjut, namun disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan lain," katanya.