SAR dua beradik dibawa arus deras diperluaskan

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan bomba di Sungai Liawan, Keningau hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan bomba di Sungai Liawan, Keningau hari ini.
A
A
A

KENINGAU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang hilang dibawa arus deras di Sungai Liawan, Kampung Dangulad di sini diperluaskan sehingga lima kilometer dari lokasi kejadian hari ini.

Bagaimanapun, operasi yang memasuki hari kedua selepas kejadian itu tidak menemui sebarang petanda berhubung mangsa, Jason Lim Ze Hao, 6, dan adiknya, Amber Lim Ze Yee, 4.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, SAR mangsa hilang yang disambung pagi tadi namun sehingga kini mereka masih belum menemui kedua-dua beradik terbabit.

"Operasi hari ini berdepan dengan kesukaran berikutan keadaan aliran sungai yang berjeram dan ini membahayakan pasukan penyelamat.

"Operasi juga diperluaskan sehingga lima kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya lagi, usaha mencari dan menyelamatkan mangsa membabitkan seramai 21 anggota bomba dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk Kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik hilang dibawa arus deras

"Setakat hari ini, tiada sebarang petunjuk yang dilaporkan dan operasi ditamatkan pada jam 5 petang tadi tetapi akan diteruskan esok," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian pada semalam melaporkan kedua beradik itu bersama bapa mereka, Lim Wan Shing, 38, dalam perjalanan pulang di Kampung Ansip namun pacuan empat roda yang dinaiki terbalik ketika melintasi laluan di Sungai Liawan.

Artikel Berkaitan:

Wan Shing berjaya diselamatkan penduduk kampung namun dua beradik hilang dibawa arus deras sungai terbabit.