X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beradik hilang dibawa arus deras

Kenderaan mangsa hanyut dibawa arus di Sungai Liawan, Keningau malam tadi.
A
A

KENINGAU - Dua beradik dikhuatiri hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama bapa mereka dihanyutkan arus deras ketika melintas Sungai Liawan, di Kampung Dangulad di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan abangnya berusia enam tahun hilang dipercayai dibawa arus deras, manakala bapa mereka, Lim Wang Sing 38, berjaya diselamatkan oleh penduduk di Kampung Dangulad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.08 tengah malam.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang dari rumah saudara di Kampung Dangulad ke kawasan Ansip.

"Laluan itu dinaiki air sungai dan ketika melintasinya secara tiba-tiba kenderaan jenis Toyota Vigo yang dinaiki mangsa terbalik dan dibawa arus.

"Akibat kejadian itu, tiga beranak itu dihanyutkan arus sungai, namun bapanya sempat diselamatkan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Lelaki dipercayai bapa kepada dua beradik yang hilang dibawa arus deras Sungai Liawan, Keningau ditenangkan pasukan keselamatan malam tadi.
Lelaki dipercayai bapa kepada dua beradik yang hilang dibawa arus deras Sungai Liawan, Keningau ditenangkan pasukan keselamatan malam tadi.

Mudi Pengiran berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan sehingga jam 1 pagi, namun dihentikan sebelum disambung semula pada jam 8 pagi tadi.

"Kenderaan mangsa masih berada di dalam sungai dan keadaan air sungai masih deras menyukarkan usaha SAR.

"Setakat ini pencarian kedua-dua kanak-kanak itu dilakukan di sekitar permukaan air," katanya.

Katanya, operasi SAR hari ini melibatkan seramai 23 anggota dari BBP Keningau dan anggota bantuan dari Sook.

"Selain bomba, SAR turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.

Pasukan bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat pada jam 8 pagi di Sungai Liawan, Keningau.
Pasukan bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat pada jam 8 pagi di Sungai Liawan, Keningau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!