Penduduk lega bekalan air kembali pulih

Jegathis lega apabila bekalan air kembali pulih pada jam 6.30 pagi tadi. Gambar kanan: Devarajah
Jegathis lega apabila bekalan air kembali pulih pada jam 6.30 pagi tadi. Gambar kanan: Devarajah
A
A
A

TANJONG KARANG - Penduduk kaum India di Taman Tan Sri Dato' Manickavasagam, Ladang Raja Musa di sini lega apabila bekalan air kembali pulih sekali gus menceriakan sambutan perayaan Deepavali Sabtu ini.

Seorang penduduk, E Hanisha, 25, berkata, penduduk di taman itu mula mengalami gangguan bekalan air pada jam 2 petang semalam.

Menurutnya, rata-rata penduduk bimbang persiapan Deepavali tahun ini terjejas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas petang semalam.

"Kami risau (jika masalah gangguan bekalan air) berlarutan sebab belum buat persediaan sepenuhnya untuk menyambut Deepavali," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hanisha berkata, kira-kira 78 rumah di taman itu mula menerima bekalan air kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

"Sejurus menyedari bekalan air kembali pulih, saya dan keluarga terus membuat persiapan antaranya membersih rumah, membasuh pinggan mangkuk dan memasak," katanya.

Seorang adiknya, E Jegathis, 16, berkata, penduduk berterima kasih kepada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang menyelesaikan perkara itu segera.

Katanya, penduduk menjangkakan bekalan air hanya pulih dua atau tiga hari lagi berdasarkan kepada situasi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk risau jika masalah ini mungkin mengambil masa sehingga empat atau lima hari, tetapi ia dapat diselesaikan tidak sampai 24 jam," katanya.

Seorang peniaga kedai runcit, D Devarajah, 53, berkata, isu ketiadaan air amat dikesali apatah lagi ia berlaku sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurut Devarajah yang berniaga di taman itu sejak 18 tahun lalu, kejadian bekalan air terputus amat menghantui penduduk lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka ingin menyambut perayaan Deepavali.

"Walaupun tahun ini keluarga saya tidak menyambut Deepavali kerana menghormati pemergian ahli keluarga terdekat meninggal dunia Disember tahun lalu, tetapi kami kasihan melihat penduduk yang terpaksa bersusah payah mencari bekalan air untuk persiapan Deepavali.

"Kami berharap kejadian seumpama ini tidak lagi berulang dan berharap bekalan air terus pulih dan tidak mengalami gangguan," katanya.