X

Kindly register in order to view this article
!

Layanan istimewa Presiden AS terhadap Erdogan bakal berakhir

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) dikatakan banyak kali menghubungi rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump melalui telefon. - Foto AFP
A
A

TEHERAN - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kemungkinan tidak mampu untuk mempengaruhi dasar Amerika Syarikat (AS) dengan menghubungi Presiden baharu negara itu, Joe Biden pada Januari tahun depan dengan menggunakan panggilan telefon.

Ini kerana sebelum ini, Erdogan telah banyak kali menghubungi Presiden AS, Donald Trump bagi membincangkan isu-isu di Asia Barat melibatkan Turki dengan menggunakan cara yang sama.

Berdasarkan kepada laporan stesen televisyen CNN, Presiden Turki itu juga dikatakan pernah menghubungi Trump dua kali seminggu pada satu ketika.

Layanan istimewa itu menyebabkan beberapa pegawai kanan dalam pentadbiran Trump dilaporkan bimbang betapa mudahnya Erdogan melepasi protokol Majlis Keselamatan Kebangsaan untuk bercakap dengan Trump menggunakan telefon.

Presiden Turki itu dilaporkan pernah berjaya menghubungi Trump ketika beliau bermain golf dan Trump akan menghentikan permainannya hanya semata-mata untuk bercakap dengannya.

Namun, dengan Presiden AS itu akan menamatkan perkhidmatannya pada tahun depan, Erdogan mempunyai sebab untuk berasa bimbang, kata seorang penganalisis, Gonul Tol dalam satu kertas penyelidikan yang didedahkan AFP.

Akhbar The New York Times melaporkan pada Oktober 2019 bahawa keputusan Trump mengundurkan tenteranya dari negara Syria dibuat selepas Presiden AS tersebut mendapat panggilan daripada Erdogan.

Syria ketika ini terlibat dalam perang saudara di negara tersebut antara kumpulan-kumpulan pejuang bagi menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad sejak tahun 2011.

Peperangan itu diilhamkan daripada kebangkitan penduduk Arab atau lebih dikenali sebagai 'Arab Spring' bagi menghapuskan pemerintahan yang dianggap korup sehingga mengakibatkan lebih 360,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi menjadi pelarian.

"Saya tidak berpendapat pentadbiran Biden akan menurut kemahuan Turki," kata seorang penganalisis bebas mengenai Syria, Sam Heller seperti dilaporkan oleh AFP.

Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pernah mengkritik Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai pemimpin autokrat. - Foto AFP
Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pernah mengkritik Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai pemimpin autokrat. - Foto AFP

Pengunduran tentera AS itu dari sempadan Syria dan Turki membolehkan Turki menyerang militia Kurdistan yang berjuang mahu menubuhkan sebuah negara merdeka dan melakukan aktiviti yang menentang kerajaan Ankara sejak sekian lama.

Turki, Syria, Iraq dan Iran dikatakan mewarisi konflik mengenai masalah penduduk Kurdistan selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah kerana ramai etnik tersebut tinggal di negara-negara berkenaan.

AS menyokong militia Kurdistan dalam perjuangannya memerangi kumpulan Negara Islam di Syria.

Namun, Ankara melihat militia Kurdistan yang mendapat sokongan AS itu sebagai pengganas sekali gus mengancam keselamatan Turki.

Lebih dua hari selepas kemenangan Biden didedahkan oleh pihak media, beberapa pegawai Turki masih tidak memberikan sebarang kenyataan sebaliknya berkata, mereka akan memberikan reaksi selepas keputusan rasmi kejayaan bekas Naib Presiden AS itu dikeluarkan.

"Di bawah pentadbiran Biden, hubungan melibatkan Washington dan Ankara akan bermula dengan ketegangan serta dipenuhi kebimbangan antara kedua-dua pihak," menurut felo kanan Majlis Eropah Tentang Hubungan Asing (ECFR) seperti dilaporkan AFP.

Bakal Presiden AS itu juga pernah menggelarkan Erdogan sebagai autokrat iaitu pemimpin yang mempunyai kuasa tidak terbatas pada Ogos lalu sekali gus mencetuskan bantahan daripada Ankara.

Biden juga dikatakan pernah mencadangkan AS supaya membenarkan tokoh-tokoh pembangkang Turki menewaskan Erdogan bukan melalui rampasan kuasa tetapi melalui proses pilihan raya.

Justeru, jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalim yang mengulas kenyataan berkenaan menganggap Biden sebagai sombong dan hipokrasi.

Bagaimanapun, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, pihaknya meletakkan hubungan diplomatik melebihi kepentingan parti politik ketika merujuk hubungan negaranya dengan AS.

Gambar fail menunjukkan sebuah kapal Tentera Laut Turki (depan) mengawal sebuah kapal menggerudi yang dihantar luar perairan Cyprus untuk mencari gas asli. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kapal Tentera Laut Turki (depan) mengawal sebuah kapal menggerudi yang dihantar luar perairan Cyprus untuk mencari gas asli. - Foto AFP

Ketika AS di bawah pemerintahan Trump, Erdogan juga pernah membuat panggilan telefon kepada Trump bagi membincangkan isu-isu mengenai Libya dan telah bersetuju dalam beberapa perkara yang dibangkitkan mengenai negara berkenaan.

Erdogan juga dilaporkan didakwa cuba mempengaruhi Trump dengan menggunakan panggilan telefon menerusi talian terus untuk membatalkan siasatan terhadap syarikat milik kerajaan Turki, Halbank.

Beliau mahu siasatan itu dibatalkan kerana pendakwa raya AS mengesyaki syarikat berkenaan terlibat dan skim melibatkan berbilion dolar bagi membantu Iran mengelakkan sekatan yang dikenakan oleh AS.

Namun, kes itu dikatakan tidak dihentikan sebaliknya akan berlangsung pada Mac tahun depan.

Bagaimanapun, di bawah pentadbiran Trump, hubungan dengan Turki menjadi tegang berikutan tindakan Ankara meneroka gas asli di perairan yang didakwa milik Cyprus dan Greece dengan Washington dikatakan menyokong Athens menentang usaha Turki tersebut.

Namun, hubungan istimewa antara Erdogan dengan Trump itu dapat dilihat apabila Presiden AS itu dikatakan cuba mengelak untuk mengetengahkan layanan Turki ke atas penduduk Kurdistan dan tentang rekod hak asasi manusia Ankara yang dilihat semakin merosot. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!